Betul ke Kamal Adli dan Uqasha Senrose pergi kursus kahwin?
Kuala Lumpur: Pasangan pelakon yang digosip bercinta, Kamal Adli dan Uqasha Senrose dikatakan sudah menghadiri kursus perkahwinan, baru-baru ini.
Pengarah dan pelakon, Michael Ang dalam empat video yang dimuat naik di Instagram, hari ini bertanyakan soalan itu kepada mereka ketika di lokasi penggambaran drama Perempuan Tanpa Dosa.
Dalam video berkenaan, Michael mendakwa dia ada mendengar Kamal dan Uqasha mengikuti kursus perkahwinan sama ada di Kuantan atau Perlis dan meminta mereka mengakuinya.
Sebaliknya Uqasha hanya tersenyum sambil memandang Kamal, manakala Kamal pula hanya memandang Michael tanpa sebarang reaksi sambil bermain telefon.
Menurut Michael, dia jarang mahu membuat gimik seperti itu di media sosial miliknya.
“Anda rasa ini gimik atau kisah benar. Anda rasa mana satu? Apa yang pasti anda kenal saya kan? Jarang saya buat gimik macam ini,” tulisnya.
Video itu menerima pelbagai maklum balas pengikut sehingga meraih lebih 100 komen dan lebih 11,000 tanda suka.
Perkongsian Michael itu turut mendapat perhatian beberapa selebriti tanah air seperti Sharifah Shahora dan Uyaina Arshad.
“Nampak sangat Uqasha gadis yang pemalu sangat di situ,” komen Sharifah.
Uyaina pula hanya meninggalkan komen Alhamdulillah berserta emoji doa dan teruja.
Sementara itu, Kamal ketika dihubungi menafikan dakwaan Michael itu.
Katanya, video yang dimuat naik Michael itu hanya sekadar gurauan semata-mata.
“Jangan percaya. Dia hanya bergurau saja,” katanya.
Kamal dan Uqasha dikatakan mula akrab sejak membintangi drama Setelah Terlafaznya Akad arahan Michael Ang, tahun lalu.
Hubungan itu terserlah apabila Kamal pernah memuat naik hantaran di Instagram dengan kapsyen tertera bowling atau dating?’ bersama foto mereka, beberapa bulan lalu.
Selain itu, Uqasha juga dilihat beberapa kali menemani Kamal menghadiri acara membabitkan ahli keluarga. Pada majlis sambutan hari jadi Uqasha yang ke-28 lalu, Kamal menjadi antara tetamu yang memeriahkan majlis.-HM
You must be logged in to post a comment.