PKPB: Benarkan kakitangan bekerja dari rumah (Work From Home)
PUTRAJAYA: Majikan terus dinasihatkan supaya membenarkan kakitangan masing-masing bekerja dari rumah sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Lembah Klang dan Sabah ketika ini.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kerajaan masih membenarkan pergerakan pekerja untuk beroperasi di pejabat atau di sektor ekonomi.
“Saya akan membawa perkara ini ke sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan Perdana Menteri dan bersidang setiap hari supaya mesyuarat boleh memutuskan tindakan seterusnya.
“Soal sama ada pekerja boleh terus bekerja di pejabat atau sebaliknya akan diputuskan.
“Cuma sebelum apa-apa keputusan dibuat, saya berharap majikan benarkan pekerja beroperasi dari rumah,” katanya pada sidang media perkembangan PKPB yang disiarkan menerusi FB Live di sini, hari ini.
Ismail Sabri berkata, langkah itu bukan sahaja menjaga keselamatan pekerja malah keseluruhan tenaga kerja di premis perniagaan dan sektor ekonomi yang boleh beroperasi dalam tempoh PKPB.
Beliau diminta mengulas kebimbangan ada majikan tidak membenarkan pekerja beroperasi bekerja dari rumah susulan tiga kluster baharu di Lembah Klang yang dilaporkan sebelum ini membabitkan jangkitan di tempat kerja-BH
PENJANA: Majikan perlu guna bantuan kewangan sebaiknya demi kepentingan pekerja
You must be logged in to post a comment.