Kubur dalam kebun sawit dipercayai ada kaitan kehilangan pesara polis
KLUANG – Misteri kehilangan seorang pesara polis sejak 31 Ogos lalu, terungkai dengan penemuan sebuah kubur di kebun kelapa sawit di Batu 26, Kahang di sini pagi semalam.
Anak mangsa, Jacky Su Kai Lun, 32, berkata, pihaknya kini berada di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk pengecaman mayat yang dipercayai bapanya yang sudah reput ketika ditemui.
“Semalam polis telefon saya dan memberitahu mengenai penemuan jasad berkenaan di sebuah kebun kelapa sawit tetapi tidak memberitahu maklumat lanjut.
“Hari ini saya dan keluarga termasuk emak hadir ke HSA untuk proses pengecaman dan diberitahu suspek utama kes iaitu Ah Kim mengaku melakukan pembunuhan itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, diberitahu pihak polis motosikal bapanya masih belum dijumpai dan proses pencarian masih dilakukan.
“Semalam sekitar jam 3 petang saya ke lokasi kubur di kebun milik orang lain itu bersama ahli keluarga dan orang kampung yang menunjukkan lokasinya.
“Hari ini di HSA kami menerima ziarah Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay yang meminta kami bersabar dan menunggu hasil bedah siasat,”katanya.
Terdahulu Kosmo! pada 4 Oktober lalu melaporkan seorang pesara polis dilaporkan hilang sejak 31 Ogos lalu selepas bertemu dengan seorang rakan niaga bagi membincangkan mengenai hutang Ielaki itu dengannya sebanyak RM30,000.
Su Kim Chiang, 57, berjumpa dengan rakannya itu di sebuah kedai motosikal di Pekan Kahang di sini kira-kira pukul 8 malam.
Anaknya, Jacky Su Kai Lun, 32, berkata, selepas kira-kira 30 minit bapanya berjumpa lelaki terbabit, ibunya ada menghubungi Kim Chiang namun gagal sebelum memaklumkan perkara itu kepadanya kira-kira 10 malam.- K! ONLINE
You must be logged in to post a comment.