Indahnya tanpa sengketa
Dalam tempoh seminggu ini rancak rakyat bercakap mengenai kepimpinan negara. Ahli-ahli politik pelbagai parti sama ada di peringkat kerajaan atau pembangkang, Melayu dan bukan Melayu begitu bernafsu mengutarakan pandangan dan naratif mereka sendiri.
Ia menjadikan seolah-olah kesatuan hanya boleh dikecapi melalui kuasa pemerintahan. Realitinya sekarang ini pihak yang memegang tampuk kerajaan juga tidak dapat melaksanakan pemerintah dengan cemerlang dan pembangkang juga tidak berfungsi sebagai pembangkang yang membina.
Alangkah indahnya dalam zaman kita menghadapi krisis kesihatan ini dihindarkan segala persengketaan politik dan menumpukan seluruh perhatian kepada ‘peperangan’ melawan Covid-19 dan meningkatkan ekonomi dan daya saing negara. Alangkah indahnya juga jika kita memberikan apresiasi sewajarnya kepada barisan hadapan kita yang mempertaruhkan nyawa mereka demi menjaga keselamatan kita.
Sudah-sudahlah bersengketa wahai para politikus negara. Rakyat sudah jelak dengan karenah kalian yang hanya mahu mementingkan kekuasaan. Berpolitiklah dengan objektif mahu membangunkan negara dengan menegakkan agama dan mentadbir negara dengannya.
Selesai bagaimana BN, MN & PN mahu tanding PRU15, bukan calon PM – Tok Uban
Al-Quran menyuruh kita bersatu, malah kesatuan juga merupakan antara visi dan misi kebanyakan parti politik di Malaysia. Namun apa yang nyata ia hanyalah sekadar retorik semata-mata.
Sistem perundangan negara mempunyai nilai semak dan imbangnya sendiri. Masing-masing perlu memainkan peranan masing-masing bukan mencampuri urusan yang lain. Perundangan juga memperuntukkan formula perubahan pimpinan dan pembentukan kerajaan. Moleklah ia dikaji dan disepakati bersama berbanding heboh di media massa bagi menegakkan pendapat tertentu. Namun itulah politikus kita.
Mutakhir ini kita lihat bukan sahaja kebebasan bersuara ini disalahgunakan seperti mengkritik dan merendahkan martabat dan kedudukan agama Islam dan Raja-raja Melayu tetapi ia juga digunakan untuk ‘membunuh’ karakter musuh politik masing-masing. Kemelut ini pasti tidak dapat ditangani sekiranya ahli-ahli politik masih lagi ‘bergasak’ antara satu sama lain. Kesedaran untuk bangkit semula mempertahankan maruah bangsa agama dan negara perlulah dipupuk semula dan menjadi teras perjuangan.
Saya tidak berhasrat mencampuri urusan politik atau dalaman sesebuah parti politik kerana saya sendiri tidak berhasrat menceburi bidang ini. Namun sebagai rakyat Malaysia dan pemimpin sebuah NGO iaitu Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia saya berasa terpanggil untuk menulis isu ini dan menzahirkan perasaan mahu melihat kesatuan dalam kalangan ahli politik negara.
PRU15: Pas perlu sedia perintah Malaysia – Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Mungkin sudah sampai masanya kita semua ‘menekan’ butang reset negara bagi menganjak paradigma lama kepada yang lebih bermanfaat, meneliti fungsi dan peranan masing-masing dalam menggarap rumusan bagi bersama-sama membina negara dengan lebih cemerlang.
Walaupun rencana kali ini memberikan kritikan kepada ahli politik ia tidaklah bermakna saya membenci kesemua ahli politik. Saya akui terdapat ahli politik yang telus dan ikhlas memperjuang hak rakyat. Saya juga mempunyai saudara dan kenalan yang berkecimpung dalam arena politik ini.
Anggaplah rencana ini sebagai wake-up call kepada semua kita sama ada orang politik, NGO, pegawai kerajaan ataupun apa sahaja peranan kita, memberi keutamaan kepada negara terlebih dahulu daripada kepentingan diri.
Insya-ALLAH jika perubahan sikap ini dapat dilaksanakan kita akan lebih berjaya membangunkan negara kita yang tercinta, Malaysia. Hidup kita akan lebih indah tanpa sengketa dalam kalangan rakyat Malaysia.
* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia