Mahathir kesat dan keterlaluan – Najib
Sikap Tun Dr. Mahathir Mohamad keterlaluan dan sukar diterima oleh mana-mana manusia, demikian jawapan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Beliau berkata demikian ketika ditanya apa perasaannya mendengar dakwaan yang dilemparkan Mahathir kepadanya dan keluarga.
“Satu ketika dulu kami memang rapat dan saya mengenang budi beliau kepada saya dengan menyokong saya sebagai Timbalan Perdana Menteri semasa zaman Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi.
“Itu tidak dapat saya nafikan tetapi apa yang berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini, saya anggap sikap beliau adalah keterlaluan.
“Kalau ada kesalahan yang saya telah lakukan, tidak sepatutnya beliau memberikan reaksi sedemikian, sehingga menyebut nama saya sebanyak 32 kali dalam satu temubual.
“Itu sudah dikira satu perkara yang keterlaluan sangat,” katanya semasa merujuk temubual eksklusif bersama Tun Dr. Mahathir dalam program OwhMG terbitan Malaysia Gazette baru-baru ini.
Ketika ditanya apakah beliau tidak marah apabila dilemparkan dengan tuduhan sedemikian, Najib mengakui beliau marah namun sebagai seorang Islam yang mengamalkan ajaran agama, beliau sedia memaafkan Mahathir.
“Memang rasa marah kerana kata-kata beliau terlalu kesat, keterlaluan dan tidak berasas. Sukar untuk diterima mana-mana manusia.
“Memang saya tidak nafikan saya cukup marah tetapi seperti yang saya katakan tadi, sebagai seseorang yang mengamalkan agama Islam, jika beliau minta maaf, saya sedia memaafkan,” katanya lagi.
Menurut Ahli Parlimen Pekan itu, sehingga kini beliau masih belum mengetahui sebab sebenar mengapa bekas Perdana Menteri sebanyak dua kali itu terlalu marah dan sanggup ‘menjaja’ cerita buruk mengenainya kepada dunia. MG
Kalau tak minta maaf, cari di Padang Mahsyar, kata Najib kepada Mahathir
You must be logged in to post a comment.