Animasi Ejen Ali The Movie, Alif & Sofia harum nama Malaysia

Kuala Lumpur: Karya animasi Ejen Ali The Movie dan Alif & Sofia mengharumkan nama Malaysia apabila masing-masing berjaya merangkul kemenangan pada Asian Academy Creative Awards 2020 (AAA 2020), semalam.

Ejen Ali the Movie menang kategori Arahan Terbaik (Fiksyen) menerusi pengarahnya, Usamah Zaid Yasin. Manakala, Alif & Sofia pula mengungguli kategori Program Prasekolah Terbaik.

Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Datuk Ahmad Izham Omar, berkata, pencapaian itu sangat luar biasa selain peluang mewakili negara bersaing pada acara pengiktirafan itu sangat berharga.

“Dapat disenaraikan antara kandungan terbaik dari seluruh Asia adalah satu pencapaian tinggi bagi kami. Terutama di tahun yang mencabar ini kita diduga dengan penularan wabak Covid-19 sangat memberi kesan kepada industri media.

“Jutaan tahniah kepada rakan kerjasama kami WAU Animation dan Blindspot Studios atas kecemerlangan mereka. Mereka terus berjaya mencipta dan menerbitkan kandungan animasi bertaraf tinggi serta martabatkan negara di persada antarabangsa.

“Tidak lupa juga ucapan terima kasih kepada Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) yang turut berganding bahu menyokong perjuangan penerbit animasi tempatan,” katanya.

Ini adalah tahun kedua karya animasi Ejen Ali dipertandingkan pada acara berkenaan. Terdahulu, sirinya memenangi kategori Program Animasi 3D Terbaik atau kategori Siri (Malaysia) pada 2018.

Asian Academy Creative Awards adalah anugerah tahunan berprestij yang mengiktiraf karya-karya dari Australia, New Zealand, Kemboja, China, Hong Kong SAR, India, Indonesia, Jepun, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Korea Selatan, Taiwan, Thailand dan Vietnam.

Anugerah itu adalah untuk meraikan usaha industri kreatif dalam penerbitan kandungan dan produksi. Kemuncak AAA 2020 dijadualkan berlangsung pada 3 dan  4 Disember 2020.-HM

 

 

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker