Tanah Melayu Setaraf Empayar British
oleh Asyraf Hakimi
Kebelakangan ini semakin banyak persoalan tentang peranan negeri-negeri Malaysia yang sering dilontarkan oleh orang ramai, khususnya berkaitan dengan pilihanraya Sabah dan juga konsep Bangsa Johor.
Meskipun perihal berkaitan Sabah dan Sarawak adalah sesuatu topik yang berbeza – kedua-dua negeri disatukan dengan Tanah Melayu pada tahun 1963 – kita wajar melihat konteks Semenanjung secara khususnya.
Umumnya, rata-rata rakyat Malaysia menganggap bahawa Semenanjung Malaysia, ataupun Malaya dan Tanah Melayu, pernah dijajah secara menyeluruh atau total oleh British sehingga 31 Ogos 1957. Namun jika kita meneliti fakta-fakta dan rekod sejarah yang boleh didapati, naratif sebegini dengan mudahnya boleh disangkal.
Di perkarangan Istana Buckingham sendiri terdapat beberapa tiang yang mencatatkan negara yang pernah mereka jajah, ataupun di bawah naungan/pengaruh/perlindungan Empayar British ketika itu, termasuk Tanah Melayu.
Namun jika kita teliti balik sejarah, Kesultanan Melayu di Tanah Melayu itu sendiri tidak pernah hilang kuasa, malah kedaulatan dan kelangsungan di 9 negeri di Semenanjung telah berjaya dipertahankan oleh Sultan-Sultan kita.
Berlainan dengan bekas jajahan British yang lain seperti India, di mana warisan Empayar Mughal bersama dengan maharajanya dimusnahkan dengan begitu sahaja.
Sesetengah pihak akan mengatakan bahawa kejatuhan Kota Melaka itu sendiri merupakan titik pertama penjajahan kuasa Barat ke atas Tanah Melayu. Ini adalah sebuah pandangan yang terlalu simplistik. Walaupun benar Kota Melaka itu sendiri telah berjaya ditakluk oleh Portugis, namun Kesultanan Melaka, yang mewarisi kedaulatan Kerajaan Srivijaya terdahulu, tidak jatuh dan ditundukkan – malah mekar berkembang lagi di negeri-negeri lain bermula dengan Kesultanan Johor dan Perak.
Kita juga perlu lihat dari segi geografi wilayah pengaruh Melaka itu sendiri. Kejatuhan Kota Melaka itu sendiri bukan bermakna kejatuhan Kesultanan dan wilayah pengaruhnya yang luas – dari Pattani, Thailand sehingga ke Jambi, Indonesia. Wilayah-wilayah jajahan takluk Melaka itu sendiri mempunyai pengalaman yang berlainan dengan kedatangan kuasa Barat di daerah mereka,
Dalam skop Tanah Melayu itu sendiri, Sultan-Sultan di 9 negeri tidak pernah melepaskan kuasa kepada pihak British, sebaliknya hanya menerima bantuan mereka sebagai penasihat hal-hal yang berkait dengan pengurusan negeri dan wilayah. Berlainan dengan Melaka dan Pulau Pinang, negeri-negeri Tanah Melayu yang lain mempunyai sistem penasihat/residen yang berbeza, di mana kuasa Sultan itu sendiri masih mempunyai kata keputusan ataupun final say.
Malah, pihak British, melalui pelbagai dokumen perundangan, juga mengakui kedaulatan Sultan dan negeri kita. Contohnya seperti kes pembunuhan oleh Ethel Proudlock pada tahun 1911 di Kuala Lumpur – di mana King George V mengakui beliau tidak boleh mengurniakan pengampunan kepada Ethel kerana Selangor adalah sebuah negeri yang mempunyai undang-undang dan pemerintahnya sendiri, justeru hanya Sultan Selangor pada ketika itu, Sultan Alauddin Sulaiman Shah, yang boleh memberikan sebarang pengampunan.
Kes ini berakhir apabila Tuanku Sultan telah mengampunkan Ethel Proudlock, walaupun telah dinasihati sebaliknya oleh pegawai British. Ini jelas menunjukkan kedaulatan Sultan di Tanah Melayu yang tidak pernah hilang, malah diiktiraf oleh pihak British. (Rujukan: http://www.viweb.school/proudlock.htm)
Pada masa yang sama, terdapat satu lagi kes yang membuktikan kedaulatan Sultan-Sultan kita, Kes Mighell v. Sultan of Johore (1894) menunjukkan Maharaja Abu Bakar, Sultan Johor ketika itu, mempunyai kedaulatan sendiri sebagai pemimpin ulung Johor – justeru tidak boleh dibicarakan oleh pihak kehakiman di Britain atas sebab Johor itu sendiri adalah sebuah negeri yang bebas dan berdaulat dan setaraf dengan Empayar British sendiri. (Rujukan: https://swarb.co.uk/mighell-v-
Malaya seperti yang kita tahu, yang juga dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu, merupakan persekutuan negeri-negeri di bawah pemerintahan Sultan di Tanah Melayu, serta negeri Melaka dan Pulau Pinang yang terletak di bawah pentadbiran total pihak British. Persekutuan Tanah Melayu pada 1963 kemudiannya bergabung dengan Sabah dan Sarawak untuk membentuk Malaysia.
Jika dilihat secara total, penjajahan pihak British itu sendiri tidak pernah komprehensif ataupun sempurna, dan pembentukan Persekutuan Tanah Melayu juga tidak boleh wujud tanpa persetujuan 9 Sultan di Malaya.
Penggubalan dan pembentukan Perlembagaan kita sendiri melalui Suruhanjaya Reid juga belaku atas izin dan perkenan Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu – setiap pelantikan anggota dalam Suruhanjaya tersebut pada ketika itu harus berdasarkan perkenan Sultan-Sultan kita.
Majlis Raja-Raja Melayu, serta para pembesar dan juga pegawai British, tahun 1957Contohnya, pelbagai perenggan awal dalam laporan Suruhanjaya Reid menegaskan tentang “pelantikan atas nama Permaisuri Britain dan Yang Mulia Raja-Raja Melayu,” serta “Persetujuan dengan Majlis Raja-Raja” jelas menunjukkan kedudukan penting dan kedaulatan Sultan-Sultan di Tanah Melayu sebelum 31 Ogos 1957 lagi. Kewujudan Perseukutan Tanah Melayu, dan seterusnya Malaysia, itu sendiri adalah hasil daripada kedaulatan dan kelangsungan Raja-Raja Melayu.
Ramai di kalangan kita pada hari ini suka untuk menyebarkan naratif bahawa “penjajahan” yang berlaku di negara kita pada masa lampau berpunca daripada kelemahan Sultan-Sultan Tanah Melayu, walhal perkara ini sudah tentu jauh dari kebenaran yang nyata dan termaktub.
Sebagai rakyat Malaysia yang cintakan tradisi dan sejarah kita, kita harus berusaha untuk mengekang ideologi dan naratif liberal sebegini sebelum ia tersebar.
Mana mungkin Tanah Melayu itu sendiri pernah dijajah seperti negara lain apabila kesultanan Melayu sering diiktiraf sebagai kerajaan setaraf oleh Empayar Britain itu sendiri? Jika kita benar-benar dijajah secara total, sudah tentu perkenan Sultan-Sultan kita tidak termasuk dalam Suruhanjaya Reid dan proses pembentukan Persekutuan Tanah Melayu itu sendiri.
Kelangsungan negara kita Malaysia ini adalah hasil daripada kegigihan dan kesepakatan Majlis Raja-Raja Melayu, serta orang-orang Sabah dan Sarawak. Dalam menempuhi cabaran-cabaran yang akan datang, adalah amat wajar jika kita sebagai sebuah negara berdaulat terus mempelajari dan mengaplikasikan kegigihan dan kesepakatan yang ditunjukkan.
You must be logged in to post a comment.