Tiga tahap cuci duit

Kuala Lumpur: Terdapat pelbagai cara dilakukan sindiket untuk mencuci duit haram bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Namun, proses mencuci duit itu dilakukan melalui tiga tahap iaitu penempatan, pelapisan dan integrasi.

Penganalisis Jenayah, Datuk Seri Akhbar Satar berkata, pengubahan wang haram adalah satu proses menukar wang tunai atau harta yang didapati daripada aktiviti jenayah untuk memberikan penampilan yang sah atau untuk menghalalkan dana haram.

Menurutnya, ia adalah satu proses membersih dan menghalalkan wang haram untuk mengelak daripada diketahui punca asal daripada kegiatan jenayah.

“Ada tiga tahap pengubahan wang haram dilakukan penjenayah untuk mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Tahap pertama dikenali sebagai penempatan. Memandangkan pengubahan wang haram membabitkan perniagaan (wang diperoleh hasil aktiviti haram) yang besar, wang ini akan dilaburkan menerusi sistem kewangan yang sah. Ini adalah pergerakan tunai daripada sumbernya.

“Penjenayah akan masuk wang tunai ke dalam jumlah yang kecil untuk didepositkan ke dalam akaun bank atau ditukar dalam bentuk cek kembara atau wang pos, menyeludup mata wang dan sebagainya ke beberapa bank serta lokasi berlainan,” katanya.

Akhbar berkata, pengubahan wang haram sering menggunakan rangkaian yang luas dengan beberapa nama dan akaun berbeza untuk melaksanakan urus niaga supaya ia tidak dapat dikesan pihak penguat kuasa atau audit trail.

Guna artis cuci duit haram, 2 pegawai kanan polis ditahan (Macau Scam)

“Peringkat kedua dikenali sebagai pelapisan. Pelapisan adalah konsep menerusi proses pusingan pelbagai tingkat yang kompleks termasuk menjadikan wang haram dengan memisahkan wang diperoleh melalui cara haram dengan mewujudkan lapisan yang kompleks dalam urus niaga kewangan.

“Tujuan utama pelapisan dilakukan ialah untuk menjauhkan wang berkenaan daripada sumber asalnya.

“Pada peringkat ini penjenayah akan mengeluarkan wang simpanan mereka secara berulang kali melalui pelbagai bank yang berbeza termasuk off shore bank di negara berbeza menggunakan syarikat palsu tanpa aset atau operasi,” katanya.

Katanya, syarikat ini hanya membuat transaksi palsu seolah-olah perniagaan biasa untuk membenarkan aliran masuk tunai dan dana yang diterima boleh dikitar menerusi beberapa syarikat sebagai wang halal.

“Peringkat akhir dikenali sebagai integrasi. Wang haram diserap ke dalam sistem kewangan dan ekonomi yang sah. Ia juga menjadikan wang haram seolah-olah diperoleh secara sah. Pada peringkat ini adalah sukar untuk membezakan antara hasil kekayaan sah dan haram.

“Wang dianggap bersih dan boleh digunakan untuk apa juga tujuan. Penjenayah akan membuat pembelian aset bernilai tinggi harganya seperti berlian, rumah dan hotel mewah di luar negara,” katanya.

Katanya, satu lagi cara penjenayah menghalalkan dana haram adalah dengan menubuhkan pelbagai perniagaan dan syarikat untuk mencampurkan wang yang haram dengan pendapatan sah termasuk melaburkan wang itu kepada golongan artis.

Kit Siang rayu pendakwaan ke atas menantunya digugurkan

Sementara itu, seorang lagi penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim berkata, selain tiga tahap terbabit penjenayah ini juga ada yang menggunakan sistem Hawala bagi mencuci wang haram itu.

“Hawala adalah sistem penghantaran wang melalui kaedah ‘bawah tanah’ iaitu tanpa melalui lingkungan sistem perbankan atau syarikat kewangan rasmi.

“Status transaksi pemindahan wang yang tidak meninggalkan sebarang rekod atau dokumentasi, dibimbangi digunakan untuk tujuan jenayah seperti penghantaran wang haram, pembiayaan keganasan, pembayaran kegiatan jenayah dan aktiviti pemutihan wang haram,” katanya.

Kamal Affandi berkata, hubungan sindiket di antara kedua-dua negara adalah berlandaskan kepada kewajipan melunaskan pembayaran yang dihantar dari negara tempat pembekal beroperasi kepada penerima di negara lain.

“Jadi, wang untuk pembayaran terbabit tidak pernah keluar dari negara masing-masing, hanya berpindah tangan dalam negara terbabit,” katanya.

 

LAPORAN Harian Metro, 11 Oktober lalu. FOTO Arkib NSTP

Related Articles

One Comment

  1. entah berapa trillion ringgit agaknya wang yang telah berjaya dicuci dalam bank2 diseluruh dunia tanpa disiasat oleh pihak berkuasa…macam mana nak siasat kalau sebahagian wang itu telah didermakan kepada orang politik yang menjadi pemerintah sesebuah negara dimana pihak berkuasa seperti polis & pencegah rasuah bekerja makan gaji dibawahnya…wang hasil jenayah penjualan dadah, pelacuran, penipuan(scam) adalah halal untuk diterima sebagai derma politik tapi wang dari pak arab yang kaya-raya sebab minyak adalah haram untuk diterima

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker