Artis ‘terpukul’ lagi?
SEJAK Mac lalu hingga kini, nampaknya kisah penularan pandemik Covid-19 masih menjadi bualan hangat. Bukan hanya di Malaysia namun di seluruh dunia.
Ternyata tahun 2020 ini sangat mencabar, membawa satu lembaran yang sukar diungkap apabila kita semua makin terbiasa dengan amalan norma baharu kehidupan.
Namun, ‘baru nak menarik nafas lega’ selepas segala usaha melandaikan rantaian penularan hampir berjaya, kini Malaysia berhadapan serangan gelombang ketiga Covid-19.
Sejak minggu lalu hingga kini, dalam laporan harian, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan peningkatan kes jangkitan terutama di Sabah. Malah, jumlah kematian juga bertambah termasuk kewujudan kluster baharu.
Menyedari keselamatan kita semua paling utama, kelmarin Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai hari ini.
PKPB selama dua minggu ini dijangka berakhir pada 27 Oktober nanti. Justeru, kita semua harus akur dengan arahan dilaksana dan kembalilah semula mematuhinya meskipun, kegiatan ekonomi dibenarkan.
Melihat pada apa yang berlaku ini, usahlah terus menuding jari kepada mana-mana pihak. Sekarang, apa yang lebih penting kita harus terus bersatu untuk menangani serangan Covid-19 ini bersama-sama.
Apapun, satu cabaran juga buat pengkarya seni tanah air dengan pelaksanaan PKPB ini. Apakah aktiviti penggambaran yang kini rancak dilakukan harus ‘berehat’ seketika?
Ia berikutan, aktiviti budaya dan sosial tidak dibenarkan ketika PKPB. Jadi, teringat pula temu bual bersama pelakon Beto Kusyairi yang ditemui ketika pelancaran filem Aku Bukan Gila lakonannya, baru-baru ini.
Beto berkata, demi keselamatan dan kesihatan yang terjamin, pengkarya seni perlu akur seandainya kerajaan melaksanakan semula PKP akibat peningkatan kes yang sukar dijangka kini.
Katanya, mungkin keadaan akan menyukarkan pengkarya seni namun mereka tiada pilihan selain akur jika kes penularan Covid-19 gagal dibendung.
“Tiada siapa sebenarnya yang ingin fasa PKP dilaksanakan semula. Tentunya, ia sekali lagi memberikan tekanan dan beban yang berat kepada pengkarya seni dan seluruh rakyat Malaysia.
“Pendapatan pasti terjejas. Namun, jika itu pilihan terakhir dan jalan terbaik untuk memutuskan rantaian penularan Covid-19 daripada meningkat setiap hari, kita harus menerimanya walaupun dalam keadaan sukar,” katanya.
Mengakui sedar ramai pengkarya seni terkesan ketika fasa PKP lalu apabila ada yang terpaksa balik kampung kerana tidak mampu bertahan dengan kos sara hidup tinggi di ibu kota, ia adalah dugaan yang perlu dilalui kini.
Bantah Tulisan Jawi & Seni Khat Cerminan “Wajah” Sebenar DAP
Apatah lagi, bagi mereka yang sudah berkeluarga dan mempunyai anak, semestinya kos tanggungan sara hidup itu agak besar dan pasti semua orang tak mampu menghadapi PKP lagi.
Bagaimanapun, Beto berkata, jika ia perlu dilaksanakan demi kebaikan semua, apa pilihan yang kita ada melainkan kena tempuh juga walaupun kesannya amat perit.
Jadi, apa yang boleh kita buat sekarang banyakkan berdoa kepada Allah semoga dalam tempoh PKPB ini, kita semua dilindungi selalu dan seterusnya jumlah kes jangkitan berkurangan.
Jangan dilupa juga pesanan harian Dr Noor Hisham, supaya kita duduk saja di rumah sekiranya tiada sebarang keperluan tugas yang penting di luar.
Dalam keadaan sekarang, duduk di rumah lebih selamat. Selain itu, hindarkan berkunjung ke tempat sesak dan berkumpul.
Malah, pastikan sentiasa memakai pelitup muka, menjaga penjarakan fizikal satu meter dan harus kerap mencuci tangan dengan sabun setiap masa.
Kini, kita semua yang harus peka menjadi frontliner untuk menjaga diri sendiri, anak-anak, keluarga dan masyarakat di sekeliling. Apapun, semoga dugaan penularan Covid-19 di Malaysia berakhir segera.
You must be logged in to post a comment.