Warga emas dikhuatiri mati lemas ketika keluar beli sarapan
ALOR SETAR: Seorang warga emas dikhuatiri mati lemas selepas dipercayai tergelincir jatuh ke dalam Sungai Langgar dekat sini hari ini.
Mangsa Ismail Awang, 83 tahun, dikatakan keluar bersendirian ke kedai di Pekan Langgar bagi membeli sarapan kira-kira jam 7.30 pagi.
Menurut menantu mangsa, Mohd Amin Fardullha Muthu, 31 tahun, beliau dimaklumkan oleh peniaga kedai makan yang dikunjungi bapa mertuanya, mangsa tenggelam-timbul di permukaan air sebelum dia tenggelam.
Katanya, bapa mertuanya yang menunggang basikal bersendirian dipercayai terjatuh ke dalam sungai di belakang kedai.
Menurut Mohd Amin, bapa mentuanya keluar rumah di Jalan Market seawal jam 7 pagi dan sudah menjadi rutin hariannya membeli nasi lemak di kedai makan di Pekan Langgar.
“Setiap pagi dia akan keluar beli sarapan,” katanya.
“Seorang saksi memberitahu, bapa mentua saya jatuh ke dalam sungai. Apabila saya pergi ke tempat kejadian, pihak bomba dan polis sudah tiba.”
Mohd Amin menunjukkan lokasi bapa mentuanya dipercayai terjatuh
Katanya, terdahulu hari ini, Ismail disifatkannya pelik kerana jam 4 pagi sudah bangun hendak keluar membeli sarapan.
Namun, dia sempat menghalang bapa mentuanya keluar kerana masih terlalu awal.
Bagaimanapun, selepas solat Subuh, dia lihat bapa mentuanya itu telah siap dan terus keluar walaupun dia menghalang.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamat, Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain memaklumkan, operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang dilakukan ketika ini.
Beliau berkata, operasi membabitkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pokok Sena, Alor Setar dan Jitra.
Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Jitra turut berada di lokasi untuk melakukan selaman.
Keadaan air deras di sungai berkenaan antara cabaran yang ditempuhi anggota bomba dalam menjalankan operasi SAR. Awani
You must be logged in to post a comment.