Kuala Lumpur mula menjerit
KUALA Lumpur cukup terkejut dengan keputusan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang menetapkan 31 Oktober ini sebagai tarikh baharu aksi terakhir Liga Premier berdepan Kuching FA di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa berkata, skuad kendalian Mohd Nidzam Adzha Yusoff itu bakal berdepan masalah tidak dapat turun ke padang susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang diumumkan kerajaan kelmarin.
Menurut Nokman, beliau bimbang tanpa latihan sepanjang tempoh PKPB itu akan menjejaskan momentum barisan pemain Kuala Lumpur walaupun ia sekadar perlawanan pelengkap jadual Liga Premier musim ini.
“KLFA ambil serius apa yang diputuskan MFL hari ini (semalam). Tambahan pula ia aksi terakhir liga yang amat-amat dinantikan semua pemain sebagai penutup tirai Liga Premier di laman sendiri setelah kami berjaya mengesahkan slot ke Liga Super 2021.
“Ikutkan jika pemain-pemain tidak berlatih sehari pun, tahap kecergasan mereka boleh menurun… inikan pula dalam tempoh dua minggu. Saya berharap MFL dapat melihat kembali perkara ini.
“Jadi kami minta jasa baik Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan MFL untuk mempertimbangkan dalam tempoh PKPB ini sahaja membenarkan pemain-pemain Kuala Lumpur turun berlatih,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Terdahulu, kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula tengah malam tadi hingga 27 Oktober ini ekoran peningkatan kes pandemik Covid-19.
Mengulas lanjut, Nokman berkata, pihaknya sedia mengikuti setiap arahan yang dikeluarkan bagi membolehkan mereka menjalani latihan dalam tempoh PKPB.
“Sebelum ini pun kami sudah melakukan swab test dan mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta MFL.
“KLFA juga telah mengeluarkan arahan kepada pemain, jurulatih dan pegawai pasukan untuk tidak mengunjungi ke tempat-tempat lain, sebaliknya hanya keluar dari rumah ke tempat latihan,” ujarnya.
You must be logged in to post a comment.