Kes Myvi langgar, PDRM siasat Twitter Raja Farah Sofea
JOHOR BAHRU – Polis Johor sedang menyiasat pemilik akaun Twitter, Raja Farah Sofea yang didakwa mengaibkan kematian anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Kilometer 4, Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi di sini kelmarin.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya sudah menerima laporan berhubung tindakan pemilik akaun media sosial berkenaan.
“Polis telah menerima laporan berkenaan tindakan pemilik Twitter yang menggunakan nama Raja Farah Sofea di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara (JBU),” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Ayob Khan mengulas tindakan pemilik akaun itu kerana didakwa membuat kenyataan mengaibkan berkaitan kemalangan itu.
Dalam kejadian jam 9 pagi kelmarin, seorang anggota TLDM, Laskar Kanan Mohd Rizal Buseri, 31, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala selepas keretanya dirempuh sebuah kereta lain.
Kemalangan itu melibatkan kereta Perodua Myvi dipandu seorang wanita, kereta Honda Accord dipandu Mohd Rizal dan sebuah kereta Proton Iswara yang dipandu seorang warga emas, Chang Ah May, 78.
Kereta dipandu wanita terbabit dikatakan hilang kawalan lalu terbabas melanggar tembok batu pembahagi jalan dan melanggar kereta mangsa serta Proton Iswara sebelum dua kereta tersebut terbalik.
Video dan foto berkenaan kejadian tersebut turut tular di media sosial dan tersebar sejak semalam. Sinar
Pemandu Myvi wanita positif dadah, reka cerita kemalangan maut