Tak mustahil DAP bekerjasama dengan Umno
Penganalisis tidak menolak kemungkinan DAP mengabaikan rungutan lama dan bekerjasama dengan ahli Parlimen Umno dalam kerajaan baharu yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim.
Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata ini kerana DAP sedia bekerjasama dengan Dr Mahathir Mohamad untuk membentuk kerajaan Pakatan Harapan, walaupun bekas perdana menteri itu dan parti itu pernah dianggap sebagai musuh.
Beliau berkata parti itu sebelum ini melanggar mitos bahawa DAP adalah “anti-PAS” ketika kedua-dua parti itu dilihat bekerjasama dengan PKR untuk membentuk Pakatan Rakyat pada 2008.
“Apatah lagi DAP boleh bekerjasama dengan ahli Parlimen Umno dalam konteks realiti politik semasa, iaitu DAP memerlukan kerjasama politik untuk memastikan mereka dapat kembali berkuasa. Buat masa sekarang, saya tak lihat DAP akan tarik balik sokongan mereka,” katanya kepada FMT.
Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata DAP mungkin tiada masalah untuk bekerjasama dengan sesetengah ahli Parlimen Umno yang tertentu menyokong presiden PKR itu.
Namun, katanya, tidak hairanlah sekiranya DAP menarik balik sokongannya sekiranya Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan pendahulunya, Najib Razak termasuk antara ahli Parlimen Umno yang menyokong Anwar.
“DAP kemungkinan akan kehilangan sokongan utamanya dalam pilihan raya akan datang dengan bergabung dengan tokoh-tokoh tersebut. Tetapi ahli Parlimen Umno yang lain tak ada masalah untuk bekerjasama dengan DAP,” katanya kepada FMT.
Katanya, keretakan PH terhadap sokongan kepada Anwar tidak mustahil walaupun PKR dan DAP sudah lama menjadi rakan sekerja, sambil menambah lanskap politik semasa sangat berpecah-belah.
“Jadi mungkin sudah tak bermakna untuk mendesak suatu pembentukan awal bagi PH sekiranya parti komponen itu tak lagi ada hati untuk itu,” tambahnya.
Bulan lalu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata parti itu tidak akan bekerjasama dengan Umno selagi ia kekal di bawah kepimpinan Zahid dan Najib.
Namun, katanya, 42 ahli Parlimen parti itu akan memberikan sokongan mereka kepada Anwar sekiranya benar presiden PKR itu mempunyai sokongan untuk membentuk kerajaan.
Ia susulan Anwar mendakwa mendapat “sokongan dan majoriti kukuh serta meyakinkan” daripada ahli Parlimen pelbagai parti untuk menubuhkan kerajaan baru, majoritinya wakil rakyat Melayu dan Islam.
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Ahmad Zahid Hamidi, dilapor berkata Umno dan BN tidak dapat menghalang ahli Parlimen menyokong Anwar.
Khamis lalu, Anwar mengumumkan akan menghadap Agong pada Selasa depan. FMT
https://mykmu.net/2018/03/13/jika-pecat-anwar-satu-kesilapan-mustahil-mahathir-betul-hari-ini/