Anwar sebagai PM-9: Agong dijangka buat verifikasi panggil semula semua Ahli Parlimen

Share

SHAH ALAM – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dijangka membuat beberapa pengesahan terlebih dahulu selepas Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap pada Selasa ini setelah mendakwa mempunyai sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan baharu di Malaysia.

Pakar Undang-undang dan Perlembagaan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, ia adalah tindakan yang biasa dilakukan bagi memastikan sesuatu dakwaan itu betul atau tidak.

Beliau berkata, dari aspek perlembagaan, Yang di-Pertuan Agong boleh menjalankan kuasanya untuk menentukan sama ada wujud atau tidak majoriti yang diakui oleh Anwar.

“Proses verifikasi tersebut bukan mudah dan ia amat penting untuk Seri Paduka Baginda melihat bukti sokongan majoriti kepada Anwar seperti kenyataan bersumpah (SD).

“Seri Paduka perlu berpuas hati bahawa wujud majoriti yang akibatnya Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan hilang majoriti yang sama dengan kesan undi tidak percaya di Dewan Rakyat,” katanya ketika dihubungi Sinar Ahad semalam.

Siapa Perdana Menteri Malaysia minggu hadapan?

Tegas Nik Ahmad Kamal, selepas itu terpulang kepada Al-Sultan Abdullah untuk membuat verifikasi lain seperti memanggil setiap ahli Dewan Rakyat menghadap ke Istana Negara.

“Kaedah tersebut pernah dilakukan di Perak dulu ketika Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin melawan Datuk Dr Zambry Abdul Kadir berhubung isu jawatan Menteri Besar negeri itu,” katanya.

Terdahulu, Anwar mengesahkan beliau akan menghadap Yang di-Pertuan Agong pada Selasa ini bagi mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti ahli Parlimen yang menyokongnya yang didakwa kukuh dan meyakinkan.

Dalam pada itu, Nik Ahmad Kamal berkata, Yang di-Pertuan Agong juga seharusnya memanggil Muhyiddin (yang ketika ini sedang menjalani kuarantin Covid-19) bagi memberi peluang untuk Perdana Menteri kelapan itu menyatakan buktinya pula.

Menurutnya, di bawah Perlembagaan Persekutuan, Muhyiddin juga berhak untuk memohon kepada Yang di-Pertuan Agong bagi membubarkan Parlimen sekiranya beliau benar-benar hilang sokongan majoriti.

“Seri Paduka mempunyai budi bicara sama ada mahu bubar Parlimen atau melantik Perdana Menteri yang baharu,” katanya.

Selain itu, beliau berpendapat sekiranya sidang Parlimen bersidang dalam masa terdekat, usul undi tidak percaya boleh dibentang untuk merungkai perkara tersebut, cuma giliran usul persendirian selalunya yang terakhir dibuat setelah semua urusan kerajaan diselesaikan.

Namun, apa yang penting, katanya, usul tersebut perlu diberi notis kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat sebelum Parlimen bersidang nanti.

Tuduh Kerajaan PN Tidak Sah? Itu Satu Tindakan Mencabar Kuasa Yang di-Pertuan Agong – Ismail Sabri

Leave a Reply