MIC cakap dengan BN, tak sesuai cakap dengan PAS, kata Sanusi

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata bahawa MIC sebagai parti komponen BN perlu menggunakan saluran gabungan parti itu untuk membangkitkan sebarang isu pelantikan jawatan dalam kerajaan negeri.

Katanya, MIC dalam hal ini tidak sesuai berunding terus dengan PAS.

“MIC komponen BN. Dia kena cakap dengan BN, bukan dengan PAS,” katanya kepada Malaysiakini menerusi mesej WhatsApp.

Beliau berkata demikian ketika diminta untuk mengulas dakwaan Pengerusi MIC Kedah S Ananthan bahawa PAS Kedah mengamalkan sikap pilih kasih dalam isu-isu pelantikan di dalam kerajaan negeri.

“Keputusan-keputusan politik antara parti dalam Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) dibuat di peringkat pusat dan diperturunkan kepada negeri untuk implimentasi.

“Lagipun, MIC ini komponen BN, dia kena runding dengan BN atau Umno. Hak-hak dan kehendak MIC perlu melalui BN. Kena ambil apa-apa keputusan di pusat, bukan PAS Kedah,” kata Sanusi lagi.

‘Cakap tak serupa bikin’

Untuk rekod, pada Mei lalu, kerajaan Kedah Pakatan Harapan di bawah pimpinan Mukhriz Mahathir tumbang dan diambil alih oleh PAS bersama BN, Bersatu dan dua Adun PKR yang berpaling tadah dengan menyertai PN.

Dengan kekuatan 15 kerusi di DUN, pengarah pilihanraya PAS pusat Sanusi dilantik sebagai menteri besar.

Sejak itu, kerajaan negeri dikritik sebagai bersikap pilih kasih dengan meminggirkan wakil-wakil BN dalam pelantikan di kerajaan negeri.

Ananthan yang juga Ahli Dewan Negara sebelum ini mendakwa bahawa PAS sebagai parti ‘cakap tak serupa bikin’.

“Bermula dari pelantikan ahli majlis PBT, Jawatankuasa Ketua Kampung (JKKK), Jawatan Penggerak Komuniti Tempatan (PeKT), pelantikan di GLC dan ketua komuniti seperti pegawai dan penasihat khas komuniti India kepada menteri besar, semuanya MIC dan BN dipinggirkan.

“Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan baru-baru ini berkata semua pihak perlu meneroka langkah mendamaikan pelbagai kumpulan yang tidak sependapat dalam Gabungan Rakyat Sabah (GBS) ketika ini.

“Ini selepas PAS diberi satu kerusi DUN di Sabah walaupun parti itu tidak pernah menang di Sabah dan tidak bertanding pada PRN Sabah. Inilah semangat yang ditunjukkan oleh parti-parti di Sabah. Tapi, bagaimana sikap PAS di Kedah? Nampaknya PAS ‘cakap tak serupa bikin’,” kata Ananthan.

Bagaimanapun, Sanusi yang juga Adun Jeneri mempertahankan tindakannya bahawa sebarang isu pelantikan perlu dibincangkan di peringkat pusat sebelum di bawah ke kerajaan negeri.

“Untuk PAS Kedah, kena cakap dengan Presiden (Abdul Hadi Awang) dan setiausaha agung PAS.

“Kita akan akur apa-apa arahan dan keputusan yang diambil dan diarahkan kepada kita di Kedah,” katanya.

Pada 27 Ogos lalu MIC dilaporkan menarik diri daripada menyertai gabungan rasmi PN, susulan pendirian terbaru Umno – parti utama dalam BN – tidak menyertai gabungan itu.

MIC telah menghantar surat rasmi bertarikh 15 Julai kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) untuk menyatakan keputusan parti berkenaan.

Sebelum ini, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata parti itu memutuskan untuk tidak menyertai PN secara rasmi.

Zahid berkata Umno sebaliknya akan terus memperkasakan Muafakat Nasional (MN) bersama-sama dengan PAS dan parti komponen BN yang lain.

Menurutnya, sokongan kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) hanya berlandaskan sokongan anggota parlimen Umno dan BN di Dewan Rakyat dan Adun di peringkat negeri.

Umno dalam masa yang sama menerajui BN yang turut dianggotai MIC dan MCA.

Setakat ini, kerajaan PN merupakan gabungan longgar yang merangkumi Umno, PAS, Bersatu termasuk kem bekas timbalan presiden PKR Mohamad Azmin Ali serta Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang ditubuhkan secara tidak rasmi susulan ‘Langkah Sheraton’ pada Februari yang lalu. Mk

MIC Kedah dakwa PAS Kedah pilih kasih, ‘cakap tak serupa bikin’

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker