Sindiket cuci duit (Macau Scam) : Wang tunai RM5 juta disita, 23 kenderaan mewah dirampas
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah menyita wang tunai berjumlah RM5 juta dipercayai terbabit dalam sindiket ‘cuci duit’ dikaitkan dengan perniagaan golongan artis.
Ketua Pesurujayanya, Datuk Seri Azam Baki berkata, pihaknya turut merampas 23 kenderaan mewah.
“Setakat ini, SPRM sudah membekukan 730 akaun bank membabitkan RM80 juta.
“Sementara, 19 individu yang disyaki terbabit dalam sindiket ini sudah ditahan,” katanya menerusi siaran langsung ‘FB LIVE’ slot SPRM360 bersama Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki menerusi MACCfm, hari ini.
Azam berkata, SPRM juga miliki senarai nama selebriti negara untuk hadir bagi memberi keterangan dan bantu siasatan kes ini.
Harian Metro sebelum ini melaporkan taktik perdaya dan menggunakan populariti artis untuk menjalankan kegiatan ‘mencuci’ duit haram melalui pelbagai usaha sama dan perniagaan sah.
Itu antara kegiatan segelintir individu yang disyaki terbabit dengan kegiatan haram termasuk perjudian sebelum memerangkap segelintir artis tempatan dengan menawarkan bantuan modal untuk memulakan perniagaan.
Kaedah itu dianggap mampu mengaburi mata pihak berkuasa selain membolehkan keuntungan diperoleh hasil kerjasama pelbagai bentuk pelaburan yang disertai bersama.
Bagaimanapun, kegiatan mereka itu dikesan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM hasil risikan dan siasatan dijalankan sebelum lima individu termasuk seorang lelaki bergelar Datuk dan Datuk Seri ditahan.
Susulan itu tiga lagi lelaki ditahan kemudian bagi membantu siasatan. HM
Guna artis cuci duit haram, 2 pegawai kanan polis ditahan (Macau Scam)
You must be logged in to post a comment.