Razlan, Shahril pulih dari Covid-19 dan dibenarkan keluar hospital
Ahli Majlis Tertinggi Umno Razlan Rafii dan ketua penerangan parti itu Shahril Hamdan sudah keluar dari hospital setelah baru-baru ini dijangkiti Covid-19.
Berita mengenai jangkitan dialami Razlan timbul pada 20 Sept, manakala Shahril pula mengumumkan sendiri yang dia positif Covid-19 pada 23 Sept.
Ketika dihubungi, Razlan memberitahu Malaysiakini yang dia dibenarkan keluar dari hospital pada Isnin.
Dia turut menghantar pesanan teks hari ini memaklumkan keadaaan kesihatannya itu.
“Alhamdulillah, saya sudah kembali sihat, semoga Allah SWT melindungi kita semua.
“Saya mohon maaf kepada semua. Tiada sesiapa yang minta perkara ini,” katanya dalam pesanan teks itu.
Menurut Razlan, dia merupakan pesakit dalam kluster Buang Sayang.
Kluster yang mula dikesan di Sipitang itu pada awalnya mempunyai tiga pesakit. Bagaimanapun, sehingga 3 Okt lalu, bilangan kes dari kluster itu mencecah 10, termasuk dua kes di Negeri Sembilan dan satu di Kuala Lumpur.
Sementara itu, Shahril turut memaklumkan di Twitter yang dia dibenarkan keluar hospital semalam.
“Jutaan terima kasih buat petugas barisan hadapan di mana-mana sahaja, terutama di Hospital Sungai Buloh atas penjagaan diberikan. Juga terima kasih untuk semua yang memberikan ucapan selamat.
“Tak sabar nak tebus semula masa bersama keluarga, terutamanya (anak) saya yang berumur dua tahun,” ciapnya.
Razlan dan Shahril dijangkiti virus itu ketika berkempen di pilihan raya negeri (PRN) Sabah baru-baru ini.
Sekurang-kurangnya seorang menteri, seorang timbalan menteri, dan lima Adun dijangkiti Covid-19 setelah pulang berkempen untuk PRN Sabah yang tamat pada 26 Sept.
Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata mereka yang pulih daripada Covid-19 tidak lagi menjadi penyebar penyakit berkenaan. Mk
Annuar kena kuarantin lepas Razlan sah positif Covid-19
You must be logged in to post a comment.