Maszlee gembira dapat bawa McDonald’s ke Simpang Renggam
Dr. Maszlee Malik melahirkan rasa syukur kerana usaha beliau membawa restoran makanan segera popular, McDonald’s ke kawasannya menjadi kenyataan.
Ahli Parlimen Simpang Renggam itu berkata, pembukaan McDonald’s tersebut diharap menjadi salah satu punca pekerjaan untuk anak tempatan dan membuat kitaran ekonomi setempat bergerak dengan lebih baik.
Jelas Maszlee, beliau telah bertemu dengan Pengarah Urusan dan Rakan Kongsi Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Azmir Jaafar pada penghujung tahun 2019.
“Tujuannya adalah untuk mengadakan usahasama dengan syarikat ternama ini dan membangunkan sebuah outlet McDonald di Simpang Renggam sendiri.
“Semalam, saya dimaklumkan bahawa tapak pembinaan outlet McDonald telah pun disediakan di sini.
“Papan tanda telah dibawa naik dan proses pembinaan akan berjalan. Outlet ini dijangka siap pada hujung tahun nanti, insya Allah. Saya amat gembira dan bersyukur dengan kerjasama ini.
“Harapan saya adalah agar pembukaan outlet McDonald ini akan menjadi salah satu punca pekerjaan anak tempatan Simpang Renggam dan kitaran ekonomi setempat dapat bergerak dengan lebih baik ,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook beliau hari ini.
Dalam hantaran berasingan, Maszlee turut memberitahu, sehingga semalam seramai 531 pemohon telah menerima bantuan berjumlah RM65,901 bagi dana yang dikutip untuk golongan mahasiswa yang terjejas selepas institut pengajian tinggi awam ditangguhkan pembukaan bagi semester baharu, minggu lalu. MG
PPBM Simpang Renggam anggap Maszlee ketua bahagian sah, tolak lantikan Muhyiddin
You must be logged in to post a comment.