Guna artis ‘cuci’ duit haram: SPRM sudah ada nama, sila tampil sebelum dipanggil

“Saya tidak mahu membuat spekulasi siapa yang akan dipanggil, namun siapa yang makan cili pasti rasa pedas,” kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki.

Beliau berkata demikian berhubung berapa ramai selebriti dan ahli perniagaan yang berada dalam radar agensi terbabit susulan terbongkarnya kegiatan ‘cuci’ duit haram diperolehi daripada sindiket penipuan Macau Scam serta judi dalam talian membabitkan golongan itu.

Azam mendedahkan sindiket terbabit menyerahkan wang dalam bentuk tunai kepada individu terbabit untuk ‘dicuci’ menerusi operasi perniagaan sah.

“Dalam kes sebegini, ada juga sindiket yang bertindak sebagai peminjam seperti along kepada individu berkenaan. Dari segi luaran, perniagaan itu mungkin nampak ia adalah sah melalui perolehan perniagaan tetapi ia adalah sebaliknya,” katanya dalam temu bual secara langsung pada slot ‘SPRM 360’ di MACCfm.



Sehubungan itu, SPRM meminta individu yang pernah menerima wang daripada mereka yang ditahan agensi terbabit tampil memberi kerjasama bagi membantu siasatan.

Azam berkata, pihaknya mempunyai senarai individu yang dipercayai dengan kegiatan itu.

“Mereka yang mungkin pernah menerima (dana) daripada individu yang ditahan itu diminta tampil sebelum mereka dipanggil.

“Tidak perlu tunggu untuk dipanggil sebaliknya tampil beri kerjasama kepada kami dan kami akan melayan mereka dengan baik,” katanya.



Beliau berkata, siasatan rumit dan beliau berharap orang ramai bersabar kerana SPRM masih lagi mengesan banyak aset yang dipercayai sudah digubah.

“Dalam siasatan ini didapati beratus-ratus syarikat ‘dummy’ yang sengaja diwujudkan untuk menyalurkan wang haram ini,” katanya.

Menurutnya, seramai lapan pegawai kerajaan dari agensi penguat kuasa sudah ditahan dan sedang disiasat kerana disyaki memberi perlindungan kepada mereka yang terbabit dalam kegiatan ini.

“Setakat ini seramai 11 rakyat tempatan dan seorang warga China ditahan dan dalam siasatan,” katanya.



Beliau berkata, SPRM sudah menyita wang tunai berjumlah RM5 juta dipercayai terbabit dalam sindiket ‘cuci duit’ dikaitkan dengan perniagaan golongan artis selain merampas 23 kenderaan mewah.

“Sebanyak 23 kenderaan mewah dirampas yang mana pada kami ini adalah hasil daripada kegiatan haram yang dimiliki pihak terbabit dalam penipuan, antara kenderaan mewah itu ialah Bentley, Mustang, Rolls Royce, Ferrari, Lamborghini, Porsche, GTR, dan beberapa motosikal berkuasa besar.

“Setakat ini, SPRM sudah membekukan 730 akaun bank membabitkan RM80 juta,” katanya.

Azam berkata, SPRM juga miliki senarai nama selebriti untuk hadir bagi memberi keterangan dan bantu siasatan kes ini.



Terdahulu, Harian Metro melaporkan mengenai taktik perdaya dan menggunakan populariti artis untuk menjalankan kegiatan ‘mencuci’ duit haram melalui pelbagai usaha sama dan perniagaan sah.

Itu antara kegiatan segelintir individu yang disyaki terbabit dengan kegiatan haram termasuk perjudian sebelum memerangkap segelintir artis tempatan dengan menawarkan bantuan modal untuk memulakan perniagaan.

Kaedah itu dianggap mampu mengaburi mata pihak berkuasa selain membolehkan keuntungan diperoleh hasil kerjasama pelbagai bentuk pelaburan yang disertai bersama.

Bagaimanapun, kegiatan mereka itu dikesan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM hasil risikan dan siasatan dijalankan sebelum lima individu termasuk seorang lelaki bergelar Datuk dan Datuk Seri ditahan.



Dipanggil Oleh Bukit Aman, Siti Kassim Salahkan PAS?

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker