Muhyiddin jalani kuarantin tanpa “Gelang pink”? Apa penjelasannya?
PUTRAJAYA – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak perlu memakai gelang pink atau gelang pengawasan kerana hanya menjalani kuarantin kendiri.
Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataannya berkata, ia adalah atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Berdasarkan penilaian risiko yang dibuat oleh pegawai KKM, Muhyiddin dinasihatkan agar menjalani kuarantin kendiri dan memantau status kesihatan kendiri di rumah.
Ianya mengambil tempoh selama 14 hari dengan menggunakan home assessement tool dalam aplikasi MySejahtera.
“Justeru, dakwaan mengatakan Muhyiddin melanggar arahan KKM adalah tidak benar,” menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri di sini hari ini.
Jelas kenyataan itu, setakat ini, kesihatan Muhyiddin dalam kesihatan baik.
“Walaupun begitu, beliau akan terus menjalani kuarantin kendiri sehingga 14 hari,” katanya.
Muhyiddin bersama tujuh menteri dan enam timbalan menteri serta pegawai tertinggi kerajaan sedang menjalani kuarantin kendiri sejak dua hari lalu.
Ini selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang hadir pada Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara Sabtu lalu disahkan positif koronavirus (Covid-19).
Semalam, keputusan ujian saringan Covid-19 yang dijalankan Muhyiddin didapati negatif.