Polis buru pemilik FB Mohd Faiz Basri
Sungai Petani: Polis menafikan laporan kononnya Balai Polis Sungai Petani ditutup sementara berikutan 32 kakitangan disaring dan kini sedang dikuarantin seperti tular di Facebook (FB), hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, pihaknya mendapati status itu dimuat naik oleh pemilik FB Mohd Faiz Basri tidak benar dan menerima satu laporan polis yang dibuat terhadap pemilik akaun itu kerana menyebarkan berita palsu.
“Hanya seramai 18 anggota polis di balai berkenaan menjalani ujian saringan Covid-19, kesemuanya menjalani kuarantin di kediaman masing-masing.
“Selain itu, kawasan Balai Polis Sungai Petani turut menjalani proses sanitasi, tetapi tidak ditutup seperti didakwa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Adzli berkata, siasatan dibuat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penyebaran berita palsu boleh memudaratkan keharmonian masyarakat terutama penduduk Kuala Muda.
“Saya menasihatkan semua masyarakat supaya mengambil sikap yang bertanggungjawab, beretika, berhemah ketika menggunakan kemudahan komunikasi atau aplikasi media sosial.
“Laporkan kepada pihak berkuasa jika menerima atau mengesan sebarang kenyataan yang meragukan,” katanya-HM
You must be logged in to post a comment.