Dicekup polis, geng Ysuku tak sempat rai hari jadi rakan
KUALA LUMPUR – Sekumpulan penunggang motosikal geng Ysuku yang melakukan aksi berbahaya ketika berkonvoi ke Port Dickson, Negeri Sembilan semata-mata mahu meraikan sambutan hari lahir rakannya terbantut selepas ditahan polis di Lebuhraya Kuala Lumpur – Seremban arah selatan, semalam.
Timbalan Pengarah (Penguatkuasaan/Kawalan Lalu Lintas/Pengurusan Saman) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, kegiatan itu dikesan sepasukan pegawai dan anggota JSPT Bukit Aman kira-kira jam 10.10 pagi.
Menurutnya, Ops Samseng Jalanan ini mendapati penunggang motosikal terbabit melakukan aksi ‘superman’, zig-zag dan menundukkan badan.
Pemandu MABUK: Seret Motosikal 2 KM & Penunggang Terkorban [Video]
“Tidak beberapa lama kemudian, kesemua 10 penunggang motosikal geng Ysuku terbabt berjaya ditahan di dua lokasi berasingan di hentian Seremban serta Plaza Tol Port Dickson, Negeri Sembilan.
“Kesemua tangkapan kemudian telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai untuk siasatan lanjut,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Mohd Nadzri berkata, siasatan awal mendapati kesemua suspek dalam perjalanan dari Merapoh, Pahang ke Port Dickson, Negeri Sembilan untuk menyambut hari lahir rakannya.
Katanya, selain itu, polis juga bertindak menyita kesemua motosikal untuk tindakan lanjut.
“Kesemua tangkapan berusia 19 hingga 30 tahun kini direman tiga hari. Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.