Tamatkan hubungan dengan PPBM, gesa Nazri
Nazri gesa pimpinan dengar suara akar umbi, tamatkan hubungan dengan PPBM
Pemimpin Umno, Nazri Aziz, menyeru hubungan antara parti Melayu itu dengan PPBM ditamatkan, mendakwa demikianlah kemahuan akar umbi Umno.
“Akar umbi sangat merasakan Umno hanya perlu bekerjasama dengan PAS dalam Muafakat Nasional, tanpa PPBM,” kata ahli Parlimen Padang Rengas itu kepada FMT.
Perkembangan ini menyusuli gesaan Timbalan Presiden Mohamad Hasan kepada Presiden Zahid Hamidi, meminta beliau memberikan pedoman kepada parti selepas pilihan raya Sabah, yang menyaksikan Umno daripada berkuasa kepada pemain terpencil dalam Gabungan Rakyat Sabah.
Zahid berkata majlis tertinggi Umno akan membincangkan perkara itu.
Menyahut seruan Mohamad dan jawapan Zahid, Nazri mengingatkan PPBM tiada sokongan akar umbi di Semenanjung seperti di Sabah.
“Umno dan PAS ada sokongan akar umbi, dan ini terbukti pada kemenangan besar dalam 6 pilihan raya kecil sejak PRU-14, 2 kali menewaskan PPBM,” katanya.
“Jadi kita mesti dengar suara akar umbi.”
Komen Nazri senada pendapat Mohamad pada Ogos, ketika beliau beritahu FMT maklum balas daripada akar umbi menunjukkan mereka tidak selesa dengan hasrat PPBM sertai Muafakat Nasional.
“Ramai ahli Umno masih ingat dengan penghinaan dan kata-kata kesat yang dilemparkan kepada kami (oleh pemimpin PPBM sebelum PRU14) dan masih terasa sakit sehingga kini,” kata Mohamad, merujuk kenyataan pemimpin PPBM sebelum PRU-14.
Muafakat Nasional adalah pakatan antara Umno dan PAS. Bersama PPBM, pakatan tersebut membentuk gabungan Perikatan Nasional, di mana, dengan sokongan gabungan kerajaan GPS Sarawak, kini mentadbir kerajaan persekutuan.
Kata Nazri, selaku ketua bahagian Umno, beliau tahu sentimen di lapangan, dan menambah kepimpinan parti perlu dengar suara akar umbi, iaitu “orang yang akan pilih kita”.
Sementara itu, penganalisis politik Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya percaya Umno perlu buat keputusan yang berani lagi tegas mengenai kerjasamanya dengan PPBM.
“Isunya bukan Umno mahu jadi dominan, tetapi Umno tidak diberi pengiktirafan dan penghormatan sepatutnya,” katanya. “Umno sudah beri banyak laluan dari segi kerusi dan jawatan.”
“Saya percaya pemimpin dan akar umbi Umno kecewa dengan apa yang mereka anggap sebagai kurang keikhlasan” di pihak PPBM.
Beliau juga nampak ada perpecahan dalam Umno, mengambil maklum komen secara terbuka mengatakan beberapa ahli Kabinet nampaknya tidak sehaluan dengan mereka di luar kerajaan.
Tambahnya, Umno harus memikirkan semula kedudukannya berkaitan pembahagian kuasa sekiranya bercita-cita mahu menjadi parti dominan.
“Saya fikir jika Umno teruskan kerjasama dengan PPBM, ia akan rasakan kesan kehilangan banyak kerusi-kerusi tradisi kepada PPBM atas nama kerjasama politik.”
Ahli sains politik, Chandra Muzaffar, berkata jelas sekali terdapat beberapa kumpulan dalam Umno yang berbeza pandangan, namun semuanya bercakap tentang kuasa dan dominasi.
“Pada saya, ini salah,” katanya. “Sebagai sebuah parti yang berkuasa selama beberapa dekad kemudian hilang kuasa kerana dianggap korup, Umno perlu bermuhasabah tentang apa yang salah dengannya dan cuba perbaikinya.
“Ini perlu jadi agenda utama. Tetapi sekiranya anda lihat Umno hari ini, nampaknya tidak ada orang yang mahu bermuhasabah atau baiki kekurangan. Mereka tetap sokong pemimpin yang mempunyai rekod prestasi yang boleh dipersoalkan dan berebut kuasa.”
Katanya, sekiranya Umno sudah tidak relevan, itu bukan kerana PPBM tetapi kerana ia tidak dapat bersatu untuk bermuhasabah dan melakukan perubahan yang perlu. FMT
You must be logged in to post a comment.