“Curang perlu kerja keras, kena padam semua mesej… lock phone” – Puteri Sarah kongsi petikan kata-kata cinta yang tak setia
HINGGA kini pelakon Puteri Sarah terus bermain teka-teki mengenai perihal rumah tangganya bersama pengarah Syamsul Yusof yang dikatakan dilanda badai.
Walaupun tiada sebarang pengesahan, namun pengkongsian kata-kata hikmah di Instagram memberi bayangan hubungan mereka berdepan masalah.
Terbaharu Puteri Sarah, 35, atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin memuat naik dua petikan kata berkaitan curang dan tidak setia.
“Curang adalah pilihan, bukan kesalahan.
Puteri Sarah dan Syamsul bersama dua anak-anak mereka.
“Curang ini perlu kerja keras, kena padam semua mesej, sentiasa lock phone, kena fikir ayat untuk t1pu.
“Terlalu susah untuk curang. Lebih baik setia,” demikian petikan kata-kata seperti yang dikongsikan Puteri Sarah di Instastory.
Terdahulu menerusi posting berlainan di ruangan yang sama, Puteri Sarah menyatakan dia berharap agar kehidupannya bersama anak-anaknya bertambah baik.
“Tiga bulan menjelang tahun 2021, semoga masa depan yang lebih baik dan bahagia bagi saya dan anak-anak.
“Menuju ke arah kehidupan yang lebih baik… InsyaAllah,” tulisnya sambil berkongsi lokasi kedudukannya di Ipoh, Perak.
Gambar kenangan keluarga ini menyambut hari raya bersama pada Mei lalu.
Sebelum ini dunia hiburan kecoh apabila Puteri Sarah dilihat hadir ke Pejabat Agama Islam Daerah Gombak ditemani seorang wanita yang dipercayai ibu mentuanya, Datin Fatimah Ismail.
Bagaimanapun, ditanya mengenai tujuan mereka mengunjungi pejabat agama tersebut, Puteri Sarah hanya memilih untuk tidak mengulas mengenainya.
Menerusi laporan mStar pada 21 September lalu, bapa kepada Syamsul Yusof iaitu Datuk Yusof Haslam berkata dia enggan mencampuri urusan anak dan menantunya itu.
Yusof memberitahu dia tidak berhak memberi sebarang komen memandangkan pasangan itu tidak lagi tinggal bersamanya sejak dua tahun lalu.
Puteri Sarah mendirikan rumah tangga dengan Syamsul pada 8 Mac 2014 dan mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 3, serta Summayah yang kini berusia setahun.
Sumber : Mstar