Mayat lelaki ditemui mati depan kedai serbaneka Bangsar
Mayat seorang lelaki ditemui terbaring di hadapan sebuah kedai serbaneka di Bangsar hari ini.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd Zainuddin berkata, pihaknya dimaklumkan oleh orang awam mengenai penemuan mayat lelaki itu pukul 9 pagi tadi.
Katanya, pengesahan kematian lelaki itu dibuat oleh pihak Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang turut dipanggil ke lokasi mayat di temui.
“Pihak polis IPD Brickfields telah bergegas ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan.
“Siasatan lanjut mangsa adalah seorang lelaki bangsa tidak pasti dan tiada mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri dijumpai,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurut Zairulnizam lagi, anggota unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) IPK Kuala Lumpur turut dihantar bagi membantu siasatan dan setakat ini tiada sebarang unsur jenayah ditemui.
Ujarnya, mayat lelaki itu dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat.
Tambah beliau, polis mengklasifikasikan kes tersebut sebagai mati mengejut dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Hotline Polis Brickfields di talian 03 2297 9222 atau mana-mana balai Polis berdekatan. MG
You must be logged in to post a comment.