Wanita ‘bergaya’ kantoi curi pakaian

Share

GURU tuisyen wanita ditahan polis selepas disyaki cuba mencuri 21 pakaian di sebuah butik di pusat beli-belah di Bangsar, Kuala Lumpur semalam.

Cubaannya itu gagal selepas ia disedari pekerja butik berkenaan.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd Zainuddin @ Hilmi berkata, pihaknya menerima maklumat daripada penyelia butik berkenaan mengenai kejadian itu pada 6.30 petang.


“Ketika penyelia terbabit membuat pemantauan di butik itu, dia melihat suspek dalam keadaan mencurigakan dan dilihat mengisi beberapa pakaian ke dalam beg butik berkenaan.

“Suspek berusia 28 tahun itu kemudiannya dilihat keluar dari butik itu tanpa membuat pembayaran menyebabkan penggera di pintu keluar berbunyi.

“Semasa pemeriksaan dilakukan, suspek gagal mengemukakan resit pembelian sebelum dia ditahan pihak pengurusan butik berkenaan bagi diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Zairulnizam berkata, pihaknya turut merampas 21 pakaian dianggarkan bernilai RM4,310 yang cuba dicuri suspek terbabit untuk siasatan lanjut.

“Suspek direman selama dua hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan jenayah di daerah ini boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields di talian 03-22979222 untuk tindakan lanjut,” katanya. HM


Leave a Reply