3 beradik, nenek rentung dalam kebakaran kedai
BETONG: Tiga beradik bersama nenek mereka rentung dalam kebakaran membabitkan sebuah kedai runcit di Kampung Dit, Debak, di sini awal pagi ini.
Ketiga-tiga beradik perempuan berusia enam, 10 dan 23 tahun bersama nenek mereka berusia 60 tahun ditemui berdekatan antara satu sama lain.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong tiba di tempat kejadian jam 3.41 pagi selepas menerima laporan pada jam 2.47 pagi dan mendapati kedai runcit setingkat itu sudah musnah 100 peratus.
“Tiada operasi pemadaman dilakukan kerana kebakaran dipadamkan oleh penduduk kampung.
“Ada empat orang mangsa terperangkap tidak dapat menyelamatkan diri dan pihak bomba mendapati kesemua mangsa rentung,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mayat keempat-empat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.
Katanya, bomba mengambil masa agak lama untuk sampai di lokasi kejadian disebabkan tiada talian telekomunikasi.
Selain itu, katanya laluan ke lokasi juga agak sempit dan terdapat kenderaan diletakkan di bahu jalan menyebabkan jentera bergerak perlahan.
You must be logged in to post a comment.