Patuh arahan pemimpin untuk kekal menang
KUANTAN – Ahli Pas diingatkan sentiasa patuh dan wala (taat) kepada arahan kepimpinan dengan meningkatkan gerak kerja bagi mempertahankan kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ketua Penerangan Pas Pahang, Mohd Tarmizi Yahaya berkata, ini bagi memastikan Pas mampu mempertahankan kemenangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen yang ditandingi berdasarkan rekod pada PRU lalu.
Menurutnya, semua jentera Pilihan Raya Pas tidak cepat selesa dan leka dengan kemenangan yang telah dikecapi sebalik terus bekerja sepenuh hati.
“Kita sebagai penggerak jentera Pas perlu sentiasa berpegang kepada empat teras utama kejayaan perjuangan kita ini iaitu berdisiplin, beramal, bertawakkal dan ukhuwah.
“Jika kita terus istiqamah dengan empat teras utama ini insya-ALLAH kemenangan milik kita dan DUN Panching akan dapat kita pertahankan,” katanya ketika berucap pada majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya DUN Panching di Dewan Seminar Tuan Guru Abdul Hadi, Balai Islam Permatang Badak malam tadi.
Mohd Tarmizi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panching mengingatkan jentera supaya sentiasa menjaga disiplin dan menggiatkan aktiviti ziarah
“Besar harapan kita untuk melihat semangat kesiapsiagaan jentera parti di semua peringkat. Ia bukan atas dasar diri saya sebagai ADUN tetapi untuk Islam kerana ALLAH semata-mata,” katanya.
You must be logged in to post a comment.