Suami buat kejutan harijadi untuk isteri dengan beri jambangan bunga duit bernilai RM1,000 Tapi Isteri Cakap Tak Cukup, Ini Yang Terjadi Selepas Itu
BELUM sempat masuk ke dalam kereta, seorang isteri diminta untuk mengambil sesuatu di but kenderaan itu.
Menerusi video yang tular di media sosial, seorang suami yang membuat permintaan itu kemudian keluar dari kereta dan merakamkan isterinya yang membuka but.
Wajah isterinya bertukar ceria sebaik melihat jambangan bunga yang dihiasi beberapa wang kertas RM50 dan RM10, sambil lelaki tersebut menyanyikan lagu hari jadi.
“Bie (panggilan untuk suami)… tak cukup,” kata isteri dengan gaya manja menghentak kaki di jalan beberapa kali sambil menunjukkan jambangan bunga duit.
“Tak cukup? Cukuplah tu!” ujar suami tersebut dengan riak mukanya terkejut sehingga mencuit hati netizen.
Suami berkenaan, Shahril-Fikry Md Saad berkata, insiden lucu itu berlaku semasa membuat kejutan sempena ulang tahun ke-35 isterinya pada 19 September di hadapan kediaman mereka di Shah Alam, Selangor.
Lelaki berusia 42 tahun itu memberitahu bahawa dia tidak menyangka kali ini dikenakan oleh isterinya kerana sebelum ini ‘terkena’ semasa kejutan hari jadinya pada Jun lalu.
“Saya memang suka rakam isteri, tapi tak sangka dia kenakan saya masa dapat bunga duit tu ketika kejutan pada tengah hari tu. Kira cukuplah tu, ada RM1,000 jumlahnya.
“Sebenarnya, lebih daripada itu saya buat kejutan untuk isteri sempena hari jadi dia. Lepas kejutan tu, kami bergerak untuk staycation di Kuala Lumpur,” katanya kepada mStar.
Shahril (kiri) membuat kejutan buat isteri tersayang.
Shahril berkata, kejutan seterusnya adalah penginapan dengan kemudahan kolam renang yang mempunyai pemandangan Menara Kembar Petronas (KLCC) dan Menara Kuala Lumpur (KL Tower).
“Malam sebelumnya saya sorokkan sepotong kek dan buat kejutan di rumah, dan malam pada hari staycation tu saya kejutkan isteri sekali lagi dengan makan malam di sebuah hotel dengan view KLCC dan Menara KL.
“Sebelum ni, dia banyak berkorban untuk saya, jadi apa salahnya saya berbelanja lebih untuk isteri kesayangan. Saya percaya, kalau kita berbelanja lebih untuk kegembiraan isteri, insyaAllah akan ada rezeki yang lebih baik untuk suami,” katanya yang bekerja dalam industri golf.
Shahril (kiri) dan isteri ‘staycation’ dengan pemandangan KLCC dan Menara KL.
Sementara itu, isteri bertuah tersebut, Norziela Yurnalis pula berkongsi perasaannya yang sama sekali tidak menyangka kejutan yang dilakukan oleh suaminya.
“Memang saya ada beritahu yang teringin nak staycation di Kuala Lumpur ada view KLCC dan KL Tower sebelum birthday saya, tapi tak sangka suami buat betul-betul.
“Bukan satu, tapi dua kali kejutan ada view KLCC dan KL Tower. Kali kedua tu masa makan malam siap tutup mata saya lagi masa nak buat kejutan ke sebuah restoran,” katanya.
Mengenai video tular kejutan jambangan bunga duit, Norziela yang merupakan suri rumah itu menjelaskan bahawa ia sekadar gurauan untuk melihat reaksi spontan suaminya.
Makan malam dengan pemandangan KLCC dan Menara KL.
“Alhamdulillah, cukup sebenarnya. Suami tak berhenti buat kejutan dari malam sebelumnya dengan kek, bunga duit, staycation dan makan malam ada view KLCC dan KL Tower.
“Cuma saya suka bergurau dengan suami. Dia bila terkejut, dia akan cuak dan nampak jelas muka dia kelam-kabut. Kelakar bila muka suami macam tu,” ujarnya secara berseloroh.
Sumber : MSTAR ONLINE , Awattt Sheikhhh Network
You must be logged in to post a comment.