Pilihan di tangan rakyat Sabah, GRS punya kelebihan
PILIHAN Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 bakal menyaksikan persaingan sengit dan dalam tempoh 72 jam sebelum hari mengundi pada 26 September ini, berkemungkinan berlaku undian taktikal untuk memilih sama ada parti nasional atau parti tempatan sebagai kerajaan negeri yang baharu.
Parti nasional dengan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) sebagai parti utama memiliki kelebihan sendiri apabila membentuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersama beberapa parti tempatan seperti PBS serta STAR bagi menghadapi PRN kali ini.
Sementara itu, Warisan Plus yang terdiri daripada beberapa parti yang mendominasi parti tempatan di Sabah bergantung kepada populariti Datuk Seri Shafie Apdal, selain dipengaruhi kekuatan calon di sesebuah kawasan.
Bagaimanapun, faktor siapa yang bertanding dilihat menjadi pertimbangan utama para pengundi untuk memilih wakil rakyat mereka berbanding logo parti yang diwakili calon berkenaan.
Pengundi dalam kawasan bandar pula dilihat cenderung menyokong parti nasional berikutan melibatkan isu pembangunan secara holistik yang memerlukan kerjasama Putrajaya, manakala isu tempatan lebih hangat diperkatakan di luar bandar.
Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi Universiti Malaysia Sabah, Dr Romzi Ationg berkata, pengundi muda dilihat lebih memilih parti nasional kerana sentimen kejayaan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam menangani wabak koronavirus (Covid-19).
“Sebaliknya di peringkat negeri, masih lagi dipersoal tentang kesungguhan tindakan kerajaan negeri menangani wabak tersebut.
“Dari segi calon berwibawa antara parti nasional dan tempatan, kita nampak seimbang namun parti tempatan ada sedikit kejayaan khususnya Warisan yang menampilkan calon berkredibiliti yang sudah lama bekerja di peringkat akar umbi dan berpendidikan.
“Parti nasional pula bergantung kepada populariti calon tersebut yang mana telah lama bekerja di kawasan dan pernah pegang jawatan menteri dan sebagainya, selain disokong pemimpin (kerajaan) Persekutuan ketika ini,” ujarnya kepada Sinar Harian di sini semalam.
Rasional
Kemungkinan berlakunya pengundian taktikal pada PRN Sabah itu juga diakui oleh Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Malaysia, Mujibu Abd Muis.
Namun, kata beliau, pengundi tetap akan membuat keputusan secara rasional sama ada untuk memilih berdasarkan pertimbangan parti atau calon.
“Setakat pemerhatian di sini, faktor calon lebih banyak menjadi pertimbangan utama. Calon yang banyak memberikan sentuhan peribadi, sumbangan, budi dan personalitinya kepada pengundi akan diundi.
“Keadaan masih memperlihatkan saingan seimbang dengan jangkaan undi yang terpecah-pecah, jadi persoalan parti nasional atau parti tempatan memang tidak dapat dipastikan siapa yang berat untuk pengundi sokong,” katanya.
Bagi penganalisis politik daripada Universiti Sains Malaysia, Profesor Dr Sivamurugan Pandian, faktor calon menjadi keutamaan berbanding parti kerana politik kesukuan di negeri itu amat ketara.
Menurutnya, BN dan PN mempunyai kelebihan melalui GRS kerana terdiri daripada parti tempatan.
“Warisan Plus lebih banyak bergantung kepada populariti Datuk Seri Shafie Apdal,” kata beliau.
You must be logged in to post a comment.