Berpolitik biarlah berpada-pada

SEMALAM seramai 16,877 anggota polis dan tentera mengundi awal pada Pilihan Raya Negeri Sabah (PRN) ke-16.

Barisan hadapan negara di perbatasan itu membuang undi untuk memilih siapakah wakil rakyat mereka di 73 kerusi Dewan Undangan Negeri di Negeri Di Bawah Bayu.

Namun, sehari sebelum anggota polis dan tentera membuang undi, kita telah dikejutkan dengan ucapan ahli politik yang amat mengguris hati pejuang-pejuang negara.

Amat mendukacita apabila ada ahli politik senior apatah lagi yang pernah bergelar menteri melihat isu dan insiden keselamatan negara sebagai agenda politik.

Dalam satu ucapan pada kempen PRN Sabah, Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohamaddin Ketapi daripada Parti Warisan Sabah mendakwa pencerobohan Lahad Datu di negeri itu pada tahun 2013 sebagai suatu sandiwara.

Namun, bak kata pepatah, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.

Sudah tentulah tuduhan seperti itu lekas menimbulkan kemarahan banyak pihak, baik dalam kalangan penduduk yang terlibat apatah lagi anggota keluarga pasukan keselamatan yang bergadai nyawa mempertahankan negara.

Yang pasti, tuduhan semberono seperti itu tidak wajar dijadikan bahan kempen oleh ahli politik apatah lagi disambut pula dengan hilai tawa para penyokong.

Lebih mendukacitakan apabila mengenangkan 10 anggota polis dan tentera negara yang dibunuh kejam oleh kumpulan pengganas tentera Jamalul Kiram III dari Selatan Filipina dalam kejadian tersebut.

Memang tidak dinafikan sesuatu insiden dan bencana boleh menjadi kelebihan kepada kerajaan untuk membangkitkan semangat nasionalisme. Tetapi ia datang dengan syarat insiden dan bencana itu harus ditangani dengan jayanya, jika tidak ia boleh memakan diri.

Dengan kempen PRN Sabah hanya tinggal tiga hari lagi, keterlanjuran Mohamaddin perlu dijadikan pengajaran oleh semua pemimpin politik agar menjaga lidah semasa berkempen,

Berkempenlah secara berhemah dan bijaksana. Berpada-padalah bila berpolitik.

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker