Selangor tawar gaji RM70,482 buat Sumareh

Rupa-rupanya Selangor yang kacau Mohamadou Sumareh dan bukannya Johor Darul Ta’zim (JDT).

Itulah kisah sebenar yang didedahkan pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengenai kontroversi Sumareh membabitkan isu perpindahannya musim depan.

Menerusi perkongsian beberapa keping gambar berkaitan tawaran kontrak dari Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) menyaksikan pemain naturalisasi Harimau Malaya itu ditawarkan gaji sebanyak USD17,000.00 (RM70,482) sebulan tidak termasuk bonus serta elaun tambahan.

Malah, melalui perbualan aplikasi whatsapp bersama Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon, tonggak sayap Pahang itu mahu FAS naikkan gaji kepada USD20,000 sebulan untuknya menandatangani kontrak selama dua musim bermula 21 Januari 2021 hingga 20 Januari 2023.

Difahamkan juga, Pengarah Teknikal FAS dari Jerman, Micheal Feictenbeiner amat berminat untuk membawa Sumareh ke Shah Alam dan beliau yakin pemain kelahiran Gambia itu amat sesuai dengan corak permainan skuad Red Giants.

“Hello Sumareh, saya Micheal TD (Pengarah Teknikal) Selangor. Saya mahu berhubung dengan awak (Sumareh) secara terus dan saya gembira sekiranya kita dapat bekerjasama pada musim depan.

“Awak amat sesuai dengan Selangor dan saya berjanji, kami boleh tingkatkan prestasi awak dan jadi antara penyerang terbaik di negara ini!. Kalau awak ada apa-apa pertanyaan boleh hubungi saya bila-bila masa. Jumpa lagi,” katanya yang juga bertindak selaku jurulatih Selangor II.

Ia kemudian dibalas oleh Sumareh yang mengakui falsafah permainan bola sepak Selangor cukup baik.

“Hello jurulatih Micheal. Sejujurnya saya suka akan gaya permainan dan falsafah bola sepak pasukan, dan sebab itu saya gembira tengok Selangor dan saya suka untuk bekerjasama.

“Saya akan berhubung dengan pihak pengurusan dan harap semuanya berjalan lancar,” kata Sumareh.

Bagaimanapun, hasrat FAS tidak kesampaian apabila Sumareh memilih menyertai kelab Thailand, Police Tero pada musim depan.

Terdahulu, Sumareh mencetus kontroversi apabila meninggalkan pasukan Pahang tanpa memaklumkan kepada pihak pengurusan serta tidak menjalani latihan pada awal Ogos.

Dia yang masih mempunyai kontrak dengan skuad Tok Gajah sehingga 2022 mengambil tindakan keluar daripada pasukan Pahang kerana dikatakan tidak dibayar gaji selama beberapa bulan sehingga klausa 8.7 diaktifkan.

Bagaimanapun, Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) dalam satu kenyataan rasmi menafikan Sumareh tidak dibayar gaji dan PBNP sedia mengheret pemain itu ke Jawatankuasa Status FAM. HM

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker