PRN Sabah: 270 pegawai, anggota polis dikuarantin tak mengundi
Seramai 270 pegawai dan anggota polis di Sabah tidak mengundi awal kerana masih dikuarantin.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata mereka membabitkan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang berpangkalan di Lahad Datu dan Kota Kinabalu.
Beliau berkata, anggota terbabit perlu dikuarantin selepas terbabit secara langsung dalam penahanan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dikesan positif COVID-19.
“Setakat ini proses pengundian awal hari ini di seluruh Sabah berjalan lancar dengan 25 peratus sudah keluar mengundi.
“Saya juga sudah mengeluarkan arahan supaya warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) segera keluar mengundi kerana cuaca tidak menentu hari ini,” katanya ketika ditemui selepas melakukan tinjauan di Mes Pegawai Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali.
Abdul Hamid turut meyakinkan orang ramai supaya tidak bimbang keluar mengundi Sabtu ini dan polis memberi jaminan keselamatan persekitaran berada pada tahap terbaik.
Bagaimanapun, katanya, pengundi mesti terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) berikutan peningkatan kes COVID-19 di Sabah.
“Saya ada dengar dakwaan mengatakan jumlah pesakit COVID-19 yang meningkat sengaja dibuat-buat bagi menakutkan orang ramai keluar mengundi.
“Saya beri jaminan isu ini tidak dipolitikkan oleh mana-mana pihak dan apa juga data yang dikeluarkan KKM ada benar.
“Saya harap masyarakat beringat dan menunaikan amalan demokrasi pada Sabtu ini tanpa rasa bimbang,” katanya. BH
You must be logged in to post a comment.