Personaliti media sosial sila jaga mulut

SEPANJANG minggu lalu, banyak isu panas berlaku di negara ini, selain Pilihan Raya Sabah, isu si polan bin si polan keluar parti, cerita kes lompat parti juga menghiasi dada akhbar.

Namun yang lebih menarik perhatian adalah apabila timbul kes body shaming yang dilakukan oleh seorang personaliti media sosial terhadap seorang individu hingga melarat sampai jadi kes polis.

Baru-baru ini tular sebuah video tindakan seorang personaliti media sosial berasal dari Kedah yang menghina bentuk badan seorang wanita menerusi rakaman secara live di sebuah platform media sosial.

Penghinaan rupa fizikal yang keterlaluan itu memaksa mangsa yang berasal dari Johor Bahru membuat laporan polis hingga mengambil tindakan saman sivil walaupun personaliti media sosial itu sudah memohon maaf.

Susulan kejadian itu, Sinar Ahad kelmarin menyiarkan kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador sebagai berkata, body shaming atau tindakan menghina, mengutuk dan mencaci bentuk badan seseorang ialah kesalahan jenayah yang boleh dikenakan denda atau penjara.

Katanya, jika bersabit kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia, pelaku boleh didenda tidak lebih RM50,000 dan penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya.

Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Dr Fadhlullah Suhaimi berkata, SKMM akan membantu siasatan polis dari segi teknikal jika menerima laporan mengenainya.

Oleh itu, jangan sesuka hati menghina fizikal seseorang kerana perkara itu tertakluk kepada batas undang-undang.

Bagi yang pernah menjadi mangsa, jangan malu untuk membuat laporan polis kerana anda ada hak jika menjadi mangsa.

Contoh

Berbalik kepada tajuk rencana ini, sebagai seorang personaliti media sosial, mereka seharusnya menjadi contoh kepada masyarakat dan bukannya menghentam sesuka hati.

Ingat, pengikut yang ramai bukan lesen untuk membuat perkara atau pelakuan sesuka hati kerana tindakan tidak menghalalkan cara.

Sebelum kejadian body shaming itu, tular sebuah video personaliti media sosial yang sama menghamburkan kata-kata kurang enak selepas terbabit dalam insiden di sebuah restoran di Melaka.

Dalam video tular berdurasi tujuh minit itu, dia dilihat membuat rakaman live bertujuan mempromosikan satu produk, namun tindakan itu ditegur pemilik restoran berkenaan.

Sejurus rakaman itu tular, dia tampil membuat permohonan maaf dengan alasan gagal mengawal emosi ketika itu.

Bukan untuk menyebelahi mana-mana pihak, namun jika peka dengan situasi negara yang masih berlawan dengan Covid-19, tindakan pemilik kedai berkenaan adalah wajar demi keselamatan dan keselesaan pelanggan lain.

Insiden itu akhirnya mendapat perhatian seorang artis yang mengatakan tindakan personaliti media sosial berkenaan sebagai menjijikkan dan memalukan masyarakat.

Tindakan itu tidak wajar dilakukan walaupun sekadar ingin menjual produk atas talian.

Artis yang terkenal kerana sering mencetuskan ‘suasana panas’ itu berkata, ramai kalangan artis tempatan seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Neelofa dan Nora Danish juga menjalankan perniagaan namun tidak pernah bertindak keterlaluan.

Apa pun, catatan dua insiden itu sekadar contoh yang boleh dijadikan iktibar bukan sahaja untuk personaliti media sosial malah buat semua masyarakat terutama peniaga atas talian yang menjual produk.

Jika anda ikhlas dan percayakan rezeki, taktik body shaming atau bermulut lancang tidak perlu dijadikan modal untuk melariskan produk.

Ingatlah rakyat Malaysia, body shaming dalam talian tertakluk kepada tanggungjawab penggunaan media sosial dan kuasa media sosial mampu mengubah dunia realiti menjadi hitam atau putih walaupun ia bukan satu perkara yang mudah dikawal.

Buat personaliti media sosial, anda terpilih kerana keletahan yang dimiliki namun jangan bermegah hingga menghina orang lain kerana rupa paras kita adalah sebaik-baik ciptaan Tuhan. Sinar

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker