Mohammaddin ‘pancung tengkuk sendiri’ – Penganalisis
Permohonan maaf yang dizahirkan oleh Datuk Seri Shafie Apdal tidak mungkin mampu memulihkan hati setiap anggota keselamatan, ahli keluarga mereka dan seluruh rakyat Malaysia yang terguris dan terkesan dengan kenyataan yang dilemparkan Datuk Mohamaddin Ketapi.
Kenyataan itu bukan sahaja salah tetapi begitu sensitif sekali kerana membabitkan kedaulatan Sabah yang menjadi sebahagian Malaysia.
Majoriti rakyat di negara ini pastinya melihat kenyataan yang diungkapkan oleh bekas Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Seni itu terlalu kasar, memandangkan Malaysia kini sedang berdepan dengan tuntutan Filipina.
Lebih-lebih lagi, Shafie juga pernah mencadangkan agar Kerajaan Malaysia berunding dengan Filipina.
Penganalisis politik, Dr Jeniri Amir menyifatkan kenyataan Mohammaddin itu sebagai tidak bertanggungjawab langsung, seolah-olah mempermain-mainkan isu kedaulatan Sabah yang sepatut dipertahankan.
Sebagai pemimpin, Mohammaddin tidak patut mempergunakan isu kedaulatan negara sebagai tiket permainan untuk meraih undi.
Tindakan pemimpin kanan Warisan itu ternyata silap besar kerana kenyataan tersebut bukan sahaja menjejaskan reputasinya sebagai calon pada Pilihan Raya Negeri Sabah, tetapi juga telah mencalar nama dan imej Warisan pada mata rakyat.
Tidak rugi jika pengundi di Parlimen Port Dickson memberi sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 13 Oktober ini, kata penganalisis politik, Dr Jeniri Amir.
“Mohammaddin sebenarnya telah menyerahkan sendiri tengkuknya untuk dipancung, apatah lagi tempoh hari mengundi semakin hampir,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Kelmarin satu video tular di media sosial memaparkan ucapan Mohammaddin yang memperlekeh insiden di Kampung Tanduo itu dan mendakwa pencerobohan Lahad Datu pada tahun 2013 hanya satu sandiwara.
”Sandiwara bohong membunuh orang. Kamu ingat dahulu PRU yang lalu, dia bilang Filipina mau ambil Sabah, jadi ada peperangan, datanglah jet dibomnya kelapa sawit orang, habis semua kelapa sawit orang.
“Habis rumah orang, koyak ditembak, ini kenyataan. Disuruh kereta kebal masuk kampung suruh berperang sama ayam, ayam sama anjing lawan dia berperang, apabila habis pilihanraya tiada pula peperangan itu. Tetapi saya ingat, saya wakil rakyat Lahad Datu,” kata Mohammaddin yang juga calon DUN Segama dalam Pilihan Raya Negeri Sabah. MG
You must be logged in to post a comment.