Pertembungan di 17 kerusi: Rundingan GRS masih berjalan
PRN SABAHÂ | Rundingan antara parti-parti naungan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk menyelesaikan pertikaian di 17 kerusi DUN masih berjalan, kata Ketua Penerangan Perikatan Nasional Azmin Ali.
“Saya percaya bahawa kebijaksanaan pemimpin Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) akan membawa kepada penyelesaian dalam semangat kekeluargaan (GRS).
“Ini kerana harapan dan aspirasi anggota serta rakan sekutu GRS adalah untuk menubuhkan kerajaan baru di Sabah yang selari dengan kerajaan persekutuan.
“Ini akan membawa banyak keuntungan kepada Sabah. Itulah fokus kami, dan saya yakin kami akan melihat perkembangan yang kondusif dan positif tidak lama lagi,” kata Azmin yang juga ahli Majlis Tertinggi Bersatu.
Untuk mencapainya, Azmin berkata fokus GRS adalah untuk memastikan hanya satu calon sahaja yang akan diletakkan di 17 kerusi tersebut bagi menghadapi calon Warisan Plus.
Azmin berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan PBS untuk tidak menarik diri daripada meletakkan calonnya.
Sementara itu, Setiausaha Agung Perikatan Nasional, Hamzah Zainuddin berharap dapat mencapai kata sepakat esok.
Di bawah Seksyen 9 Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981, calon hanya boleh menarik diri sebelum jam 10 pagi pada hari penamaan calon.
Oleh itu, rundingan yang sedang berlangsung dirancang supaya beberapa calon GRS yang bertembung sesama sendiri menarik diri dengan secara terbuka menyokong calon GRS lain di 17 kerusi DUN berkenaan.
Azmin bercakap kepada pemberita selepas berkempen di Keningau untuk calon GRS-PN-Star bagi kerusi DUN Bingkor dan Tambunan. PBS meletakkan calon untuk kedua-dua kerusi itu yang kini disandang Star.
Presiden Star Jeffrey Kitingan, kata Azmin dihormati oleh PBS dan pihak GRS yang lain.
Oleh itu, jelasnya beliau yakin Kitingan berupaya menyelesaikan perkara ini secara aman.
Kitingan akan mempertahankan kerusi Tambunan dalam pertembungan lima penjuru, termasuk penyanyi Dusun popular Jimmy Palikat.
Di Bingkor pula, Robert Tawik akan mempertahankan kerusi Bingkor menghadapi lima calon lain.