Shafie bermain mata dengan Filipina, kata Azmin
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal ditempelak kerana dilihat tidak tegas, sebaliknya cuba bermain mata dengan Filipina.
Namun kata Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, ironinya Shafie memusuhi pemimpin dalam negara ini.
“Wahai Shafie Apdal aku mahu jawab kamu pada malam ini mengapa saya disalahkan datang ke Sabah? Sabah inikan sebahagian daripada Malaysia? Kita baru sahaja sambut Hari Malaysia 16 September tanpa Sabah tidak ada Malaysia.
“Dengan saya dia marah, dengan negara jiran dia tak marah. Mahu bermain mata sebab itu semalam Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein membuat kenyataan beliau selaku menteri yang bertanggungjawab menyatakan kesal kerana Shafie mencadangkan untuk kerajaan persekutuan berunding dengan Filipina,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Program Rapat Umum dan Semarak PN DUN Petagas, Datuk Seri Arsit Sedi @ Sidik di Bakut View, Putatan pada Sabtu.
Baru-baru ini dilaporkan, penyokong Warisan mencemuh Azmin yang hadir di Serambi Membakut pada 12 September untuk membantu calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkempen.
Azmin dalam masa yang sama mempertikaikan tindak tanduk Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) itu yang dilihat ingin bermain mata dengan Filipina ekoran tuntutan negara itu terhadap negeri di bawah bayu itu baru-baru ini.
“Nak runding apa ini negeri kita tanah air kita kenapa kamu mahu tunduk kepada negara jiran. Minggu ini mahu main mata dengan Filipina apa niat kamu. Kalau kamu tidak reti jaga Sabah, kedaulatan Sabah, kita nyahkan dia pada 26 September,” tambahnya. – MalaysiaGazette
You must be logged in to post a comment.