Waran tangkap untuk Safiey Ilias?
Usahawan kosmetik dan selebriti, Safiey Ilias, 26, dikatakan bakal berdepan hukuman penjara membabitkan kesalahan di bawah Peraturan 7 (1)(a) iaitu Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
Menurut sumber Harian Metro, waran tangkap juga sudah dikeluarkan kepada penyanyi lagu Syinta Gila itu selepas dua kali gagal hadir pada prosiding yang dijalankan.
Safiey, 26, atau nama sebenarnya Mohd Saifuddin Ilias ketika dihubungi bagaimanapun enggan mengulas lanjut.
“Saya tak nak komen apa-apa dulu sebab sudah menjadi kes mahkamah. Saya akan beritahu kelak sehingga kes ini selesai Isnin ini.
“Saya sendiri tidak tahu akan perbicaraan kes ini. Sebab semasa writ saman dihantar, saya juga tak pasti sama ada ia dihantar ke pejabat atau rumah. Kalau pejabat, pejabat sudah tutup lama. Kalau di rumah, saya pula berada di kampung sejak Ogos lalu akibat masalah depresi dan bipolar.
“Kalau saya tahu akan kes ini, pasti saya beri kerjasama sepenuhnya kerana saya tidak pernah lagi gagal hadir mana-mana kes lain di mahkamah sebelum ini.
“Saya harap tidak timbul sebarang spekulasi yang bukan-bukan. Saya janji akan berkongsi. Terima kasih atas sokongan diberikan kepada saya,” katanya kepada Harian Metro.
Ditanya mengenai produk yang dikatakan tidak mengikut garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Safiey berkata, ia bukan produk untuk dipasarkan.
“Kilang beri contoh produk. Saya cuma ingin berikan ‘tester’ kepada peminat saya. Ia belum untuk dijual dan tidak langsung saya promosikan di laman sosial saya.
“Biasanya saya menerima banyak contoh produk dari kilang di Malaysia. Saya suka minta kuantiti yang banyak untuk diberikan kepada peminat untuk mencuba keberkesanan. Jika berkesan, baru saya akan jual dan ikut prosedur pendaftaran bagi tujuan kelulusan produk sebelum dijual.
“Tak perlu risau akan produk keluaran saya kerana saya sudah berniaga sejak berusia 16 tahun lagi dan sentiasa peka dengan peraturan dan prosedur sebelum produk dijual,” katanya.
Difahamkan, Safiey perlu hadir ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, Isnin ini bagi mendengar keputusan kes itu. HM
You must be logged in to post a comment.