“Jangan Undi Kapal Warisan, Jika Tidak Mahu Dibotek Selalu”

Pantun diselitkan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wadji Dusuki ketika berucap penuh bersemangat pada Majlis Bersama Calon N. 71 Tanjung Batu, Andi Muhammad Suryady Bandy disambut tepukan gemuruh para hadirin.

“Sorong papan tarik papan, Buah tarap atas perahu, Jangan undi kapal Warisan, Jika tidak mahu dibotek (ditipu) selalu,” katanya disambut gelak tawa dan tepukan kuat daripada penduduk kampung yang hadir di Dewan Terbuka Pentas KK Hamid Hassan, Tawau.

Beliau sebelum itu menyatakan kerajaan Warisan akan jatuh sama seperti Pakatan Harapan yang jatuh akibat menjadi kerajaan pembotek apabila tidak menunaikan janji selepas menjanjikan bulan dan bintang kepada rakyat, termasuklah dalam memberikan bantuan.

Menurutnya, kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak pernah memilih rakyat yang hendak dibantu dan perkara itu terbukti apabila Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) diterima oleh semua golongan layak.



“Adakah kita pilih hanya BN yang dapat BR1M. Orang PAS kerana dia PAS maka BR1M dia dipotong. Tidak… Tetapi kenapa apabila Warisan naik (jadi) kerajaan hanya puak-puak tertentu sahaja yang terima bantuan. Bantuan Covid-19 (sebanyak) RM300 pun kena botek,” katanya.

Dr. Asyraf berkata di mana sahaja daerah beliau kunjungi dalam kempen Pilihan Raya Negeri samada di Kudat, Kota Marudu, Semporna, Kunak dan Tawau pasti ramai rakyat mengaku tidak menerima Bantuan Khas Covid-19 kecuali penyokong Warisan.

Dalam pada itu, beliau mahu rakyat menjadi pengundi bijak agar tidak tersalah pangkah, sekaligus mengulangi kejayaan besar BN semasa Pilihanraya Kecil (PRK) Kimanis sebelum ini.

Pengalamannya semasa kempen di Kimanis menunjukkan rakyat Sabah, khasnya anak-anak muda sudah mendapat kesedaran Ubah Balik.



“Saya risau juga apabila ada anak muda kita saya lihat pagi (dia) pakai (baju) biru (BN), petang main bola dengan saya pakai biru tapi malam saya nampak jadi putih (Warisan). Tapi dia kata jangan risau (kerana) luar putih dalamnya biru,” katanya.

Beliau menyifatkan kempen pilihanraya sebagai “musim menuai” kerana pihak lawan akan memberi pelbagai sumbangan untuk meraih undi seperti bantuan beras dan sebagainya.

“Orang bagi duit ambil, itu rezeki. bagi beras, ambil. Ini musim menuai, kita kutip semua tetapi jangan lupa bagi undi kepada BN sebab inilah penentu masa depan cerah buat anak cucu kita. Pilih kerajaan yang kuat di peringkat Persekutuan yang tidak membotek rakyat,” katanya.

Dr Asyraf di akhir ucapannya sekali lagi mendapat tepukan gemuruh menerusi dua pantun; “Dua tiga kucing berlari, Mana nak sama si kucing belang, Dua tiga boleh ku cari, Mana nak sama Andi parti timbangan”; dan “Tinggi-tinggi si Gunung Kinabalu, Tinggi lagi sayang pada kamu, Janji-janji Warisan semuanya palsu, Undilah Andi Warisan kita radu”. BN



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker