“TERIMA KASIH BUAT SAYA PERCAYA BAHAWA SAYA LAYAK UNTUK DICINTAI” – BCL
Penyanyi Bunga Citra Lestari tetap menitipkan ucapan istimewa sempena ulang tahun kelahiran arwah suaminya iaitu Ashraf Sinclair yang ke-41 pada Jumaat (18 September), meskipun Ashraf sudah tiada.
Bunga atau lebih dikenali sebagai BCL, 37, mengucapkan terima kasih kepada arwah suaminya yang membuatkan dia percaya dirinya layak untuk dicintai.
Menurut penyanyi lagu ‘Cinta Sejati’ ini, dia masih memegang kata-kata Ashraf dan akan mencintai dirinya seperti mana suaminya menyayanginya sepenuh hati.
“Terima kasih kerana membuatkan saya percaya bahawa saya layak untuk dicintai. Sejak awak tiada, saya perlu menjadi awak… seseorang yang mencintai saya dan seseorang yang mempercayai saya.
“Kata-kata awak sangat hebat, dan akhirnya saya dapat melihatnya. Saya akan mencintai diri saya, seperti mana awak mencintai saya. Selamat ulang tahun kelahiran sayang,” kata BCL.
BCL berkongsi ucapan romantis tersebut dengan memuat naik foto Allahyarham menerusi laman Instagram miliknya pada Jumaat. Ruang komen di perkongsian tersebut dipenuhi dengan kata-kata semangat untuk BCL dan tidak lupa juga, doa untuk arwah Ashraf.
Allahyarham Ashraf Sinclair meninggal dunia akibat serangan jantung pada 18 Februari lalu di Jakarta, Indonesia. BCL mendirikan rumah tangga dengan Ashraf pada 2008 dan pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata lelaki bernama Noah Aidan Sinclair yang kini berusia 10 tahun.
Dalam pada itu, suami kepada penyanyi Yuna iaitu Adam Sinclair memberitahu biarpun arwah Ashraf sudah pergi buat selama-lamanya namun dia sentiasa menghargai kehadiran lelaki itu dalam hidupnya.
“Selamat hari lahir abang. Hari ini kenangan tentang awak sangat kuat. Dan sebanyak mana saya rindukan awak, saya juga menghargai perasaan yang terlalu dekat dengan awak.
“Kehidupan saya lebih baik dengan adanya awak. Pagi yang gelap, kini sudah terang. Aku adikmu, dan engkau Abang. Ku amat merinduikan mu,” tulis Adam.
Sementara itu, ibu Allahyarham Ashraf, Dida Sinclair atau nama sebenarnya Khadijah A Rahman turut memuat naik sekeping gambar lukisan yang dilukisnya sendiri buat anaknya yang menyambut ulang tahun kelahirannya dalam satu entri di Instagram miliknya.
“Salaamun, qaulum mir Rabbir Rahiim. And Peace, a word from Allah, most Merciful. Empat puluh satu tahun dulu, Alm Asraf datang dalam hidup kami. Dan sekarang dia sudah kembali kepada Allah Yang Maha Esa. Kami sayangkan Ashraf Umi… Al-Fatihah.
“Setahun yang lalu, Umi dan Daddy ke Jakarta. Tanpa pengetahuan kami, kami ke sana untuk menyambut hari lahir Ashraf yang terakhir,” tulis Dida dalam bahasa Inggeris.
Menurut Dida, ketika itu dia berjanji dengan Allahyarham untuk melukiskan gambar ‘Money Plant’ (pokok duit): “Umi Promised Alm Ashraf that I would Paint this ‘Money Plant’ for him. Alhamdulillah it is now for Bunga and Noah,” tulis Dida lagi.
Satu Instagram yang ditujukan khas buat Ashraf Sinclair – ashrafsinclair.dlmkenangan turut meninggalkan komen panjang lebar pada entri tersebut.
“MasyaAllah! The painting is so nice Umi. Real sangat! Pokok menghijau yang tumbuh sentiasa berzikir dan bertasbih kepada Allah SWT tanpa hentinya mengingati-Nya. Subhanallah.
“Mendoakan alm Asraf diampunkan segala dosa, amalan kebaikannya diterima, pahalanya terus mengalir hingga ke akhirat kelak, menempatkan rohnya sentiasa dalam dakapan teduhan kasih sayang Allah bersama golongan insan-insan yang beriman dan beramal soleh, InsyaAllah.
“Congrats Umi dan Pak Mat dengan kelahiran kurniaan Illahi seorang anak sehebat alm Ashraf bukan sahaja ketika riwatnya masih ada, ketiadaannya juga bagai sentiasa ada hingga ke saat ini. Happy birth Ash. Al-Fatihah,” komen yang indah ditulis.
www.myartis.com / Sumber & foto: mStar, Astro Gempak, Instagram Bunga citra Lestrai, Adam Sinclair & Khadijah A Rahman
You must be logged in to post a comment.