Anak saya tak terbabit syarikat penggodam, kata Vincent Tan
Ahli perniagaan Vincent Tan menegaskan anak perempuannya tidak terbabit secara langsung dalam menguruskan syarikat permainan video dalam talian, SEA Gamer Mall Sdn Bhd (SEAGM), selepas 2 eksekutif tertinggi syarikat itu dikaitkan dengan skandal godam antarabangsa.
Dalam kenyataan hari ini beliau berkata, Nerine dan Chryseis Tan, hanya sebagai pengarah bukan eksekutif dan sudah meletakkan jawatan dalam syarikat itu sebelum kejadian godam yang didakwa oleh Amerika Syarikat (AS).
“Sepanjang masa, anak perempuan saya sama sekali tidak terlibat dalam menguruskan syarikat. Mereka hanya wakil saya di lembaga SEA Gamer Mall. Nerine dan Chryseis sebenarnya sudah mengundurkan diri sebelum kejadian ini,” katanya.
Ia susulan kenyataan Jabatan Kehakiman AS (DoJ) pada Rabu yang mendakwa, 5 warga China dan 2 ahli perniagaan Malaysia terlibat dalam penggodaman meluas menyasarkan syarikat permainan video sehingga aktivis pro demokrasi.
Pendakwa raya AS turut mendakwa 2 ahli perniagaan Malaysia, Wong Ong Hua, 46, dan Ling Yang Ching, 32, yang didakwa bersubahat dengan 2 pengintip digital itu untuk mengaut keuntungan daripada pencerobohan komputer, menyasarkan syarikat permainan video di AS, Perancis, Jepun, Singapura serta Korea Selatan.
DoJ berkata, 2 tertuduh itu beroperasi melalui sebuah firma Malaysia dikenali sebagai SEA Gamer Mall.
Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Huzir Mohamed mengesahkan 2 individu itu diberkas polis pada 14 September lalu dan kini direman di Penjara Sungai Buloh.
Dalam pada itu, taikun dari Malaysia itu turut menyebelahi syarikat SEA Gamer dengan menyatakan Wong dan Ling, tidak memiliki kemahiran untuk melakukan salah laku seperti didakwa.
“Sama ada SEA Gamer atau pun 2 pegawai kanan syarikat itu tidak memiliki kepakaran atau alat dalam melakukan pencerobohan dan penggodaman komputer.
“Kedua-dua mereka tetap tidak bersalah dan melantik peguam Malaysia untuk mewakili mereka,” katanya.
Sementara itu, Vincent berkata beliau menjadi pelabur pasif di syarikat berkenaan selama 13 tahun sejak 2007 dan mungkin akan melepaskan pelaburan peribadinya dalam syarikat apabila tiba masa sesuai.
“Saya ingin mengesahkan Berjaya Corp Bhd Group tidak mempunyai kepentingan dalam syarikat SEA Gamer. Saya juga sebelum ini pernah melabur dalam syarikat permainan video dalam talian lain yang mana saya sudah melepaskannya,” katanya.
Laman web SEA Gamer adalah kedai dalam talian yang menjual “kad top-up” untuk permainan dalam talian yang popular, kad hadiah digital dan kredit mudah alih prabayar.
Ibu pejabatnya terletak di Sitiawan, Perak, dengan beberapa lokasi pejabat di China, Thailand dan Indonesia.
Syarikat itu memiliki 172 kakitangan dan merekodkan 2.7 juta pengguna berdaftar di seluruh negara, dengan meraih pendapatan RM386.4 juta dan keuntungan RM11.6 juta pada 2019. FMT
You must be logged in to post a comment.