Monyet berswafoto dengan telefon pintar yang dilarikannya (video)

HANYA kerana seekor monyet, pemilik telefon pintar Muhammad Zackrydz Mohd Rodzi meraih populariti yang luar biasa.

Ia bermula apabila iPhone XS Maxnya yang disangka hilang rupanya dilarikan haiwan tersebut pada Sabtu lalu.

Dia menyedari telefon pintar yang dibelinya setahun lalu itu hilang selepas bangun tidur di rumahnya di Parit Besar, Batu Pahat.

Dia cuba menelefon telefonnya, ada deringan namun tidak dapat mengesan lokasinya.



Enggan berputus asa, pada petang Ahad dia bersama abangnya ke belakang rumah meneruskan pencarian selepas bapa mereka mengesyaki monyet melarikan telefon pintar itu.

“Ayah saya yang pada awalnya memberitahu saya bahawa dia melihat monyet di sekitar kawasan rumah, jadi saya mempunyai idea bahawa mungkin monyet yang mengambil telefon bimbit saya, jadi saya memikirkannya, jika saya monyet, di mana saya akan berada.

“Oleh itu, saya mempunyai idea untuk memeriksa kawasan di belakang rumah saya, terdapat banyak pokok di sana, jadi saya meminta abang saya menelefon semasa saya mencari.

“Saya hampir sampai di hutan ketika saya menjumpai telefon saya di bawah pokok kelapa sawit.”



Hasil pemeriksaan mendapati galeri telefonnya penuh dengan gambar monyet itu berswafoto.

Perkara itu menjadi bahan jenaka keluarga dan sanak saudaranya sebelum dia berkongsi peristiwa itu kepada rakan di Twitter pada malam Ahad lalu.

“Niat saya cuma berkongsi pengalaman jarang berlaku itu, tidak sangka pula penangan kisah monyet ini hebat sekali hingga mendapat perhatian luar biasa.

Saya juga dihubungi dan diwawancara beberapa agensi berita luar negara terkemuka termasuk BBC, Reuters, CNN, UNILAD dan pelbagai portal lain,” katanya yang mahu menyimpan gambar monyet itu sebagai kenangan.



Katanya, dia menganggap peristiwa jarang berlaku itu mengandungi hikmah tersendiri termasuk lebih peka dan berwaspada pada masa hadapan.
Awani

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker