Demi Rakyat, Akujanji GRS adalah pembelaan dan komitmen total buat Sabah – PM

Kota Kinabalu: Perdana Menteri menyifatkan Akujanji ditawarkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai satu komitmen total atau menyeluruh untuk kepentingan rakyat Sabah.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, komitmen itu sejajar usaha ke arah mengangkat darjat rakyat Sabah ke tahap lebih tinggi berbanding sebelum ini.

Beliau berkata, Akujanji itu adalah komitmen luar biasa mengambil kira kesan Covid-19, lebih-lebih lagi di Sabah yang sangat terjejas dengan pandemik itu ketika ini.

“Perkara itu ada urusan Kerajaan Persekutuan, sebahagian lain membabitkan urusan kerajaan negeri. Ia agak utama dan penting untuk kita tawarkan satu tawaran baharu yang jauh lebih baik berbanding Parti Warisan Sabah (Warisan).

“Ini sesuatu yang perlu kita lakukan kerana Sabah ada ramai rakyat perlukan pembangunan dan pembelaan dengan sokongan kerajaan negeri dan Pusat.

“Maka disebabkan itu kita lancar Akujanji ini yang bagi saya satu komitmen total daripada GRS untuk mengangkat darjat rakyat Sabah ke tahap tinggi,” katanya pada pelancaran Akujanji atau Manifesto GRS menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi BN Sabah, Datuk Bung Moktar Radin; Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Hajiji Noor; Timbalan Presiden PBS, Datuk Radin Maleh; Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa dan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

GRS ialah nama gabungan untuk merujuk kepada kerjasama Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Akujanji gabungan itu menumpukan aspek ekonomi, infrastruktur, perkhidmatan awam, kesihatan dan kesejahteraan rakyat, pendidikan dan sumber manusia, keselamatan serta pembangunan belia dan wanita.

Muhyiddin berkata, Akujanji itu turut mengambil kira situasi semasa berkaitan kesan Covid-19, khususnya di Sabah yang dilihat sangat terkesan dengan pandemik itu.

“Dalam keadaan sukar sekarang apabila Covid-19 melanda, kesannya sangat besar dan membawa musibah berat dan Malaysia tidak terkecuali, termasuk Sabah.

“Ada rakyat jatuh miskin dan bertambah miskin. Maka sebab itu, komitmen kita hari ini bukan komitmen biasa. Ini komitmen luar biasa memandangkan situasi agak sukar tak pernah dihadapi Sabah,” katanya.

Beliau berkata, Sabah antara yang teruk terjejas akibat pandemik itu dan ia memerlukan komitmen kerajaan negeri dan Pusat untuk memastikan kesan berkenaan dapat ditangani dengan sebaik mungkin.

Menurutnya, kerjasama antara negeri dan Pusat tidak boleh dielak dalam hal seperti itu dan kalau PN sudah menguasai kerajaan Pusat, di Sabah pun sepatutnya begitu.

“Di sini patut begitu, mesti ada PN atau GRS supaya masalah besar di negeri ini dapat dibantu dan rakyat tidak terjerumus lebih dahsyat lagi.

“Sehubungan itu, rakyat Sabah perlu memilih PN, BN dan PBS pada PRN kali ini untuk melaksanakan Akujanjinya,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker