Calon KM Sabah: Azmin perlu berhati-hati bila bercakap

ISU siapa sepatutnya menjadi Ketua Menteri Sabah jika Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang terdiri daripada Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) seharusnya tidak dibincangkan sehinggalah Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah selesai.

Inilah pandangan semua pihak bagi mengelakkan tercetus polemik ketika GRS sedang mengerahkan segala tenaga dan kekuatan bagi merampas kembali negeri itu daripada Warisan Plus.

Malangnya, masih ada pemimpin PN yang tidak berhat-hati seperti mana ditunjukkan oleh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika bercakap kepada pemberita di Tuaran hari ini.

Seperti mana dilaporkan portal berita Free Malaysia Today , Mohamed Azmin berkata; “Hajiji Noor wajar diberi peluang untuk memimpin Sabah kerana beliau seorang calon Ketua Menteri yang kuat dan bersih. Perkara ini telah diumumkan secara terbuka oleh Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin), bagi pihak PN.

“Hajiji adalah calon yang layak untuk menjamin masa depan rakyat dan negeri Sabah, mereka (rakyat) perlu tahu perkara ini (calon ketua menteri),” kata Mohamed Azmin.

Sebagai Ketua Penerangan PN, Mohamed Azmin sepatutnya lebih berhati-hati kerana tiada siapapun boleh meramalkan apa yang akan berlaku dalam keputusan PRN Sabah nanti.

Dengan jumlah calon 447 orang bagi merebut 73 kerusi dan banyak parti menyertainya, segala kemungkinan boleh berlaku.

Kalau Mohamed Azmin merasakan Hajiji merupakan calon paling layak, bagaimana pula kalau BN juga membuat pengumuman yang sama mengatakan ada pemimpin mereka boleh juga menjadi Ketua Menteri? Sudah tentu ini akan menimbulkan suasana tidak harmoni dalam kerjasama GRS.

Sebelum ini apabila Muhyiddin mencadangkan (bukan mengumumkan seperti mana kata Mohamed Azmin) nama Hajiji bagi jawatan Ketua Menteri jika dipersetujui oleh rakan-rakan dalam BN dan PBS, pemimpin-pemimpin UMNO berasa tidak selesa kerana gelanggang PRN baru sahaja dibuka.

Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sendiri dalam reaksinya dengan tegas menyatakan, “BN memutuskan bahawa Ketua Menteri Sabah hanya akan dipilih oleh ADUN BN dan rakan kongsi politik apabila cukup bilangan kerusi bagi pembentukan kerajaan negeri yang baharu.”

Malah ketika berkempen di DUN Kukusan malam tadi, Pengerusi BN itu sekali lagi menegaskan, BN berikan kuasa autonomi, maknanya calon-calon dipilih oleh UMNO dan BN Sabah tidak ada campur tangan dari Semenanjung kerana kita yakin kepada Pengerusi BN Sabah.

“Bukan hanya calon dipilih oleh orang Sabah tapi penentuan calon Ketua Menteri Sabah juga dipilih oleh orang Sabah sendiri… bukan orang Putrajaya.

“Pendirian kita tegas bahawa setelah mempunyai kerusi yang cukup untuk membentuk kerajaan maka berundinglah dalam kalangan mereka untuk memilih Ketua Menteri sendiri,” tegas beliau.

Ketegasan Ahmad Zahid itu sebagai ‘peringatan mesra’ kepada semua yang bekerjasama dalam GRS bahawa soal Ketua Menteri sepatutnya tidak diperkatakan sehingga siapa pemenang PRN Sabah ditentukan oleh rakyat negeri pada 26 September ini.

Oleh itu kepada Mohamed Azmin, tolonglah berhati-hati bila bercakap. Sememangnya kesungguhan beliau untuk turut berkempen membantu calon-calon GRS terutamanya daripada PN dialu-alukan dan pasti dihargai.

Tetapi janganlah membuat kenyataan yang boleh dilihat mampu menyinggung perasaan rakan-rakan PN khususnya dalam BN, apatah lagi apabila Mohamed Azmin menggunakan ayat ‘’..seorang calon Ketua Menteri yang kuat dan bersih.’’

Mungkin Mohamed Azmin tidak bermaksud apa-apa tetapi dalam keadaan politik sekarang melibatkan PN dan BN khususnya berkaitan soal kuasa serta kedudukan, lebih baik setiap perkataan yang mahu dilafazkan oleh mana-mana pemimpin diteliti terlebih dahulu.

Dalam tempoh tinggal 11 hari sahaja lagi untuk berkempen, lebih baik tumpuan diberikan bagi menyakinkan rakyat Sabah kenapa mereka perlu memilih GRS bagi menggantikan Warisan Plus, bukannya bercakap soal siapa mahu menjadi Ketua Menteri.

Walaupun Mohamed Azmin menyatakan orang Sabah perlu tahu siapa calon yang akan menduduki jawatan itu jika GRS menang tetapi masanya belum tiba kerana kempen belum pun sampai seminggu berjalan. Semoga Mohamed Azmin memahami keadaan itu. – Edisi 9

Related Articles

One Comment

  1. Adakah layak parti pengkhianat menjadi pemimpin….

    Bak kata TGNA.
    Pengkhianat adalah kerja2 fasiq.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker