Van keselamatan bawa wang tunai terlibat kemalangan

KOTA TINGGI – Sebuah van syarikat keselamatan yang membawa wang tunai terlibat kemalangan di Jalan Mersing menghala Bukit Samsu dekat sini hari ini. Dalam kejadian pada jam 1.59 tengah hari, van berkenaan yang dinaiki tiga pekerja syarikat keselamatan berkenaan terbabas sebelum hilang kawalan dan melanggar tiang lampu.

Difahamkan van berkenaan dalam perjalanan ke Mersing untuk menghantar wang berkenaan.

Pemandunya, Sarbini Waribab, 64, dan dua penumpang, Mohd Arshad Hassan, 52, serta Abdul Azizi Abdullah, 35, cedera.

Seramai 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi dengan sebuah jentera Fire Rescue Team (FRT) serta sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.



Komander operasi, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Rafi Mohd Nor berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira 40 minit untuk mengeluarkan pemandu dan seorang penumpang yang tersepit.

“Kita mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan khas ‘rescue tool’. Seorang penumpang yang tidak tersepit berjaya keluar dengan sendiri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, semua mangsa yang cedera diserahkan kepada pegawai perubatan sebelum dihantar ke Hospital Kota Tinggi bagi tindakan selanjutnya.

Beliau berkata, wang tunai yang dibawa van berkenaan selamat.



“Operasi tersebut tamat pada jam 2.50 petang,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker