200 katil ‘standby’ rawat pesakit Covid-19

Share

Kuala Lumpur: Hospital Kuala Lumpur (HKL) memperuntukkan 200 katil untuk keperluan pesakit Covid-19, meskipun sudah dua bulan tidak menerima pesakit wabak itu.

Pengarahnya Datuk Dr Heric Coray berkata, sebelum ini ketika waktu punca, HKL merawat 700 pesakit yang mana 400 orang adalah pesakit dalam siasatan (PUI) yang kemudian didapati negatif, sementara 300 lagi positif Covid-19.

Menurutnya, kes jangkitan itu mula menurun sekitar Jun lalu dan sehingga kini tiada kes Covid-19 diterima pihaknya.


“HKL juga sudah menyambung semula perkhidmatan biasa, namun ujian saringan Covid-19 tetap diadakan 24 jam dan sebanyak 200 katil disediakan, sekiranya terdapat kes baharu selain memerlukan 300,000 keping pelitup muka perubatan setiap bulan.

“Jika ada suspek Covid-19, mereka akan dimasukkan ke wad dan jika didapati positif akan terus dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menerima sumbangan peralatan perlindungan diri (PPE) di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Persatuan Usahawan Wanita dan Keusahawanan Agro (WeAgro), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Syarikat Royale Rich Resource dan Muslim Volunteer (MVM) menyerahkan sumbangan 1,000 stok PPE kepada pasukan hadapan HKL.

Turut hadir, Ketua aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan; Pengerusi WeAgro, Siti Khadijah Hassan Berseri; Ketua Pegawai MVM Mohd Fauzan Abdul Sukor dan Pengarah Urusan Royale Rich Resource, Norhazlinda Husain.


Dr Heric berkata, menghargai sumbangan penderma dan berterima kasih kepada penyumbang yang menyampaikan bantuan yang boleh dikatakan setiap hari.

“Sekarang PPE masih mencukupi dan saya harap orang ramai terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah Covid-19,” katanya-HM

Leave a Reply