Kontraktor minyak, gas Sarawak bincang dengan PETRONAS berkaitan kontrak Nov depan

KUCHING, 14 Sept  — Persatuan Kontraktor-Kontraktor Petroleum Sarawak dijangka mengadakan perbincangan dengan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) bagi memberikan keutamaan kepadanya dalam pemberian kontrak berkaitan industri minyak dan gas di perairan negeri ini.

Presidennya, Datuk Rahman Lariwoo hari ini berkata ia adalah susulan penerimaan surat daripada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) yang memberitahu ia telah meluluskan perdaftaran Persatuan Kontraktor-Kontraktor Petroleum Sarawak.

“Surat bertarikh 19 Ogos, 2020 itu secara rasminya meluluskan pendaftaran persatuan ini dengan RoS. Sehubungan itu, kami mahu bertemu dengan pengurusan tertinggi Petronas pada November depan bagi membincangkan peluang mendapatkan kontrak untuk kontraktor minyak dan gas Sarawak,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Rahman berkata pihaknya meminta Petronas memberi keutamaan dalam pemberian kontrak berkaitan industri minyak dan gas kepada kontraktor minyak dan gas Sarawak.

“Sarawak ketika ini mengeluarkan sebanyak 60 peratus daripada keseluruhan jumlah pengeluaran minyak dan gas di Malaysia namun kontraktor minyak dan gas Sarawak menerima manfaat yang sedikit daripada pengeluaran tersebut walaupun ia terletak perairan negeri mereka sendiri.

“Saya percaya kontraktor minyak dan gas Sarawak berkemampuan melaksanakan semua kontrak Petronas, sekiranya kita menjelajah ke seluruh dunia, anda pasti akan bertemu dengan orang Sarawak yang terlibat dalam industri minyak kerana Sarawak adalah negeri pertama yang mengeluarkan minyak,” katanya.

Beliau berkata setakat ini terdapat 500 kontraktor minyak dan gas di Sarawak tetapi hanya sekitar 100 kontraktor terbabit sahaja yang aktif dalam industri minyak negara ini kerana tidak diberi peluang dalam pemberian kontrak.

Dalam pada itu, persatuan itu akan sentiasa bekerjasama dengan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) yang ditubuhkan kerajaan Sarawak bagi menjalankan kerja cari gali minyak di perairan negeri ini, katanya.

— BERNAMA

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker