Seekor demi seekor kerbau tumbang, 36 mati, 10 lagi nazak

KUALA TERENGGANU, 14 Sept  — “Seekor demi seekor kerbau tumbang. Kini telah 36 ekor mati dan masih ada 10 ekor lagi sedang nazak.”

Demikian luahan Khamis Jusoh, 64, iaitu bapa kepada Muhammad Syukur yang terkenal dengan jolokan ‘Kampong Boy’ atau ‘Mowgli Malaysia’ berikutan tular kejadian sejumlah kerbau peliharaan mereka didapati mati sejak Rabu lepas dipercayai akibat hawar berdarah.

Beliau berkata  semalam sahaja sebanyak 11 ekor telah mati dan hari ini juga dengan jumlah yang sama hinggakan beliau sendiri berasa bagaikan tidak percaya dengan apa yang berlaku.



Khamis berkata sehingga kini kerugian yang dialami melebihi RM200,000 dan pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) telahpun mengambil sampel untuk mendapatkan pengesahan punca kematian.

“Punca sebenar kematian hanya akan diketahui selepas dua minggu setelah sampel yang diambil dihantar untuk ujian makmal. JPV nasihatkan kami untuk mengasingkan kerbau yang sihat agar tidak terjangkit,” katanya ketika ditemui pemberita di kandang kerbau Kampung Kubang Bujuk, di sini, hari ini.

Ketika ditanya sama ada terdapat kemungkinan perbuatan khianat dari mana-mana pihak, Khamis berkata beliau menyerahkan perkara itu untuk siasatan polis.

Sementara itu, Muhammad Syukur, 15, berkata beliau dan keluarga tetap reda dengan ujian tersebut, malah mereka akan lebih berwaspada bagi memastikan kesihatan haiwan ternakan.



Remaja yang sering menjadi pilihan lensa kamera kerana mampu beraksi dengan haiwan itu berkata ia adalah kejadian pertama yang dialami mereka sekeluarga sejak mula menternak kerbau, 50 tahun lalu.

Muhammad Syukur berkata fokus mereka ketika ini ialah mahu menyelamatkan nyawa kerbau yang masih ada dan sekurang-kurangnya beliau masih mampu tersenyum kerana kerbau kesayangan yang diberi nama ‘Semek’ tidak dijangkiti sepertimana yang lain.

“Semuanya Allah punya, kami reda dengan ujian kematian 36 kerbau ini. Namun memang sedih kerana biasanya jumlah yang mati tidak begitu banyak secara serentak.

Antara simptom yang disedari berlaku pada kerbau yang sakit ialah hidung berair, tidak aktif dan najis berdarah. Sekarang pun ada beberapa ekor yang kita syaki sedang sakit, minta doa semua agar urusan keluarga kami dipermudahkan Allah,” katanya.



Ketika tinjauan Bernama di lokasi, didapati proses menanam bangkai haiwan berkenaan berjalan  dalam tempoh beberapa jam sahaja dengan menggunakan pengorek kaut.

Muhammad Syukur mula terkenal apabila gambarnya bersama lebih 100 ekor kerbau menjadi tular di media sosial hingga menjadi juara peringkat Asia selain turut tersenarai 20 gambar terbaik dunia.

Suasana di kandang kerbau itu hari ini kelihatan agak berbeza daripada sebelumnya, apatah lagi jumlah yang kebiasaannya melebihi 100 ekor kini semakin berkurangan. Haiwan ternakan lain seperti kambing dan lembu tidak terjejas kerana dipelihara di kawasan lain.

— BERNAMA



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker