Kurangkan Retorik Dan Utamakan Aspirasi Masa Hadapan Rakyat Malaysia
1. Dewasa ini kita melihat perubahan-perubahan tertentu di dalam arena politik negara yang mungkin merisaukan rakyat Malaysia.
2. Para pemimpin sama ada di peringkat negeri atau persekutuan harus berusaha untuk memastikan apa jua tindakan yang diambil atau dilaksanakan bertepatan dengan aspirasi masa hadapan rakyat di negara ini.
3. Sudah tentu apa yang terjadi sekarang, terutamanya dalam isu penyatuan parti-parti politik tertentu di negara tidak pernah berlaku sebelum ini.
4. Yang penting untuk kita fikirkan sekarang adalah jalan untuk kehadapan ( way forward ) bagi meneruskan keutamaan kita kepada pembangunan rakyat Malaysia.
5. Politik bukanlah hanya medan untuk merangkul kuasa semata-mata. Politik adalah setiap hal berkenaan perihal-perihal yang melibatkan pengurusan negeri dan negara.
6. Oleh yang demikian kita harus memperkuatkan iltizam kita terutamanya bagi memastikan nasib rakyat terus terbela disamping terus bersikap adil dan saksama kepada semua kaum di negara ini.
7. Iltizam dan aspirasi inilah yang perlu kita fikirkan dalam setiap keputusan yang perlu dibuat agar kita tidak terjerumus lagi ke dalam kancah permasalahan politik seperti sebelum ini
8. Dalam pada masa yang sama, kita juga perlu sedar bahawa dalam menghadapi perubahan norma baharu akibat daripada serangan pandemik Covid-19 turut akan memberikan impak yang besar terhadap pentadbiran negara.
9. Dalam menghadapi ancaman ini dan juga menguruskan isu-isu lain, para pentadbir dan juga ahli-ahli politik perlu memastikan rakyat terus tenang dalam usaha untuk menyesuaikan diri dengan arus semasa.
10. Ini adalah masanya untuk semua pihak mengurangkan retorik dan memikirkan jalan terbaik untuk memberikan khidmat kepada rakyat Malaysia, agar kita dapat melakukan restorasi dalam kehidupan rakyat negara ini sekaligus membantu Malaysia dalam meningkatkan prestasi dalam semua sektor di peringkat domestik dan global.
-Menteri Besar Pahang-
YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail
You must be logged in to post a comment.