Lagu Takdir Kita untuk bekas isteri
Tiada apa yang perlu guna dikesalkan, nasi sudah menjadi bubur. Bahtera rumah tangga penyanyi kelahiran Akademi Fantasi musim kelapan, Daus Eli, 32, sudah lama menyembah bumi.
Sekadar mampu meratapi takdir, perpisahan berlaku atas kesilapannya sendiri. Hubungan jarak jauh, selain kehadiran ‘orang ketiga’ menjadi punca hubungan Daus dan bekas isterinya, Syaza Shamimi Jalaluddin Khan tidak mampu diselamatkan lagi.
Umpama tiada maaf bagimu, bekas isteri nekad mahukan perpisahan. Daus dan Syaza Shamimi bercerai secara sah di Mahkamah Syariah Bintulu pada 1 Februari, tahun lalu.
Selepas lebih setahun menyepikan diri, Daus atau nama sebenarnya, Muhd Shahril Firdaus Eli akhirnya keluar dari tempat ‘persembunyian’.
“Saya akui banyak mendiamkan diri kerana tertekan dengan cemuhan netizen selepas berpisah dengan bekas isteri.
“Saya mengalami kemurungan apabila netizen meletakkan kesalahan atas bahu saya. Demi tiga cahaya mata, saya harus bangkit semula demi mencari sesuap rezeki. Mereka kini berada di bawah jagaan bekas isteri di Bintulu, Sarawak.
“Tidak dinafikan, industri muzik semakin mencabar dengan kehadiran ramai penyanyi generasi baharu yang mempunyai ramai pengikut dalam laman sosial, tetapi tidak salah saya mencuba nasib.
“Apa yang dilakukan ini demi anak. Saya tak mahu menanggung dosa apabila mengabaikan nafkah anak. Selain kembali aktif menyanyi, saya turut menghasilkan lagu untuk penyanyi baharu,” katanya muncul dengan single baharu berjudul Takdir Kita yang ditujukan buat bekas isteri.
Daus Eli bangkit daripada kemurungan selepas setahun menyepikan diri dengan single Takdir Kita yang dituju kepada bekas isteri. – Foto Daus Eli
Katanya, sudah tentu kekesalan berbekas di hatinya. Disebabkan kekhilafan diri, dia kehilangan isteri dan anak-anak.
“Segala-galanya berpunca daripada perhubungan jarak jauh. Bekas isteri membuka farmasi di Bintulu, tetapi perniagaan tidak mendapat keuntungan, jualan sangat teruk pada 2018.
“Disebabkan perniagaan tidak menjadi, kami menghadapi masalah kewangan. Jadi, bekas isteri membuat keputusan menutup farmasi dan berhijrah ke Kuala Lumpur kerana mendapat tawaran kerja. Dia juga membawa anak bersama.
“Saya pula ketika itu bekerja di sebuah syarikat di Bintulu. Selama lapan bulan berjauhan dengan keluarga memberi cabaran besar buat saya,” katanya kepada BH Online.
Akuinya, punca masalah daripada dirinya selepas terlalu mengikut hati apabila menjadikan orang ketiga sebagai tempat meluahkan perasaan.
“Sejak itu, bermulalah konflik rumah tangga hingga membawa perceraian. Walaupun berusaha memujuk, tetapi bekas isteri tetap nekad mahu bercerai.
“Sekian lama, saya harus ‘move on’ dan terima hakikat kami tiada jodoh lagi. Apa yang menjadi keutamaan adalah anak. Bagaimanapun, jauh di sudut hati, saya tetap menyesal dengan apa yang berlaku,” katanya.
Sebelum ini, Daus tidak mampu berdepan tekanan dan berdepan kemurungan apabila dikecam teruk selepas menceraikan Syaza Shamimi yang baru dua minggu melahirkan anak ketiga pada ketika itu.
Dituduh lelaki tidak berhati perut kerana tergamak menceraikan isteri sedang dalam pantang dua minggu, selain meninggalkan anak-anak yang masih kecil. Pasangan berkenaan dikurniakan tiga cahaya mata, Delysha Senzela, 5, Myesha Sehrish, 3, dan Ayesha Sheraz, 1.
Daus berkata, dia membawa diri ke Kuala Lumpur, manakala anak ditinggalkan dengan bekas isteri. Bagaimanapun, dia tak pernah melupakan mereka, sebaliknya sering bertanya khabar menerusi panggilan video.
“Kali terakhir kami bertemu pada November tahun lalu. Sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada Mac lalu, saya langsung tidak berkesempatan pulang ke Bintulu menjenguk anak.
“Saya perlu menjalani tempoh kuarantin selama 14 hari jika saya mahu pulang. Jadi, saya terpaksa menangguhkan dahulu hasrat bertemu anak, biarpun terlalu merindui mereka.
“Saya akui, hubungan bersama anak bongsu tidak rapat. Ketika saya dan bekas isteri bercerai, anak ketiga baru berusia dua minggu, jadi dia tidak begitu mengenali saya. Bagaimanapun, saya tetap membuat panggilan video supaya anak tahu saya adalah bapanya,” katanya yang kini yang menjalankan perniagaan makanan dengan memasak sendiri. BH
You must be logged in to post a comment.